FAS sasar 40,000 hadir Piala Selangor 2009
TIMBALAN Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 40,000 orang penonton akan hadir menyaksikan perlawanan Piala Selangor 2009 antara skuad Liga Super Selangor dan kelab Indonesia, Persib Bandung di Stadium Shah Alam Jumaat ini.
"Saya merayu para penyokong semua dapat membanjiri stadium pada malam tersebut. Setakat ini sudah 15,000 tiket terjual dan saya jangka ia akan mencecah sehingga 40,000," katanya.
Mokhtar berkata demikian pada sidang media memperkenalkan dua pemain jemputan Selangor, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy di Wisma FAS, Kelana Jaya tengah hari tadi.
"Bambang dan Elie akan beraksi dengan Selangor. Mereka berdua telah diberi kebenaran oleh badan induk bola sepak Indonesia untuk beraksi sebagai pemain jemputan Selangor pada perlawanan ini," jelasnya.
Mokhtar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Piala Selangor 2009 turut memberitahu bahawa idea penganjuran perlawanan yang julung kali diadakan itu datang daripada Presiden FAS sendiri iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim.
"Piala Selangor ini adalah cetusan Tan Sri (Khalid) sendiri. Objektifnya untuk merapatkan silaturahim antara Malaysia dan Indonesia serta memberi pendedahan kepada pemain kita dengan tahap perlawanan kelab dari Indonesia," kata Mokhtar.
Sementara itu, Bambang berkata: "Adalah satu kebanggaan apabila saya dapat kembali menyarung jersi Selangor walaupun untuk satu perlawanan ini. Ia dapat mengubat kerinduan peminat di sini."
Elie pula berkata: "Saya senang untuk bermain dengan Selangor. Saya akan buat yang terbaik untuk peminat di sini."
Pemenang perlawanan tersebut akan menerima piala pusingan dan wang tunai RM30,000 manakala pasukan yang tewas akan membawa pulang wang tunai RM10,000.
Menurut Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd. Amin, sebanyak enam pertukaran dibenarkan bagi setiap pasukan dan jika perlawanan 90 minit berakhir dengan seri, masa tambahan 30 minit akan dijalankan dan jika masih terikat, penentuan sepakan penalti.
Tiket-tiket berharga RM10 (Dewasa) dan RM5 (Kanak-kanak) boleh didapati di pintu utama Stadium Shah Alam hari ini, esok dan Jumaat dari 9 pagi hingga 7 malam.



