Penyokong Diharap Beli Tiket Awal

on .

Menyedari bahawa pertemuan menentang pendahulu Liga Super, Kelantan adalah amat penting bagi mengembalikan semula kepercayaan dan keyakinan pemain, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) meminta semua penyokong Gergasi Merah itu untuk membanjiri Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

"Penyokong memainkan peranan penting dan mereka boleh memberikan kekuatan kepada pemain kita. Saya yakin penyokong setia Selangor akan tetap berada di belakang kita dan ketika ini, Selangor juga sedang berusaha untuk bangkit.

"Keputusan positif di Stadium Shah Alam minggu ini akan menghadirkan keyakinan buat pemain untuk mengharungi musim ini. Justeru, kami di FAS amat mengharapkan penonton supaya memenuhi Stadium Shah Alam," kata Bendahari FAS, S Sivasundaram.

Tiket-tiket untuk pertemuan dengan skuad Kijang itu akan mula dijual di pintu masuk Stadium Shah Alam mulai jam 10 pagi, Sabtu ini. Tiket untuk dewasa berharga RM10 manakala kanak-kanak di bawah 12 tahun akan dikenakan tiket sebanyak RM5.

Beliau meminta penyokong supaya datang lebih awal ke stadium kerana kelewatan akan menimbulkan pelbagai masalah. Bagaimanapun, Sivasundaram mengingatkan penonton supaya tidak membawa masuk barangan yang dilarang terutamanya mercun.

"Saya yakin penyokong setia Selangor tidak akan melakukan sebarang masalah kerana mereka cukup berdisiplin. Apa yang saya bimbangkan ialah cuma segelintir penonton yang enggan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Saya mahu ingatkan bahawa pihak berkuasa sentiasa memantau apa yang berlaku di dalam stadium," katanya.

logo mbi  logo kappa  logo arena