Tiket mula dijual jam 9.00 pagi
KELEBIHAN beraksi di gelanggang sendiri Sabtu ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak buah ketua jurulatih, K Devan dalam usaha untuk menempah tiket ke perlawanan akhir Piala FA dan satu gol yang dijaringkan di tempat lawan sebelum ini pasti menjadi azimat paling berharga.
Sokongan padu peminat tempatan di Stadium Shah Alam bakal menjadi pendorong paling baik buat pemain skuad Gergasi Merah yang sebelum ini berjaya mengikat Perlis 1-1 di Stadium Utama Negeri, Kangar.
Menyedari bahawa faktor penyokong memainkan peranan penting untuk membantu kemenangan, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) akan mula menjual tiket-tiket untuk perlawanan berkenaan di pintu masuk A, mulai jam 9 pagi Sabtu ini.
"Tiket-tiket berharga RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun akan mula dijual pada hari Sabtu bermula jam 9 pagi. Kita harap semua penyokong akan membeli tiket berkenaan lebih awal untuk mengelakkan kesesakan," kata Bendahari FAS, S Sivasundaram.
Sementara itu, beliau berkata, mana-mana pasukan yang berminat untuk menyertai Kejohanan Futsal Persatuan India Selangor (SIA) boleh mendapatkan borang selain membuat pembayaran untuk pasukan masing-masing pada hari sama.
"Borang dan pembayaran untuk pertandingan futsal SIA juga boleh dilakukan di pintu masuk A Stadium Shah Alam. Selain itu, kita akan turut mengedarkan borang-borang pertandingan itu nanti," katanya.
Kejohanan Futsal SIA bakal berlangsung di HTO de Futsal pada 3 Mei depan dan ia diadakan sempena ulang tahun ke-100 pertubuhan berkenaan. Kejohanan itu terbuka kepada semua pasukan. Setiap pasukan akan dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM100.
Johan kategori lelaki akan menerima wang tunai RM3,000.00, naib johan RM1,500.00 dan pasukan separuh akhir RM750.00. Kategori wanita pula menerima Johan RM2,000.00 naib johan RM1,000.00 dan pasukan separuh akhir RM500.00
"Kita juga menyediakan 200 hadiah untuk cabutan bertuah. Setiap pengunjung hanya perlu membeli satu air minuman 100 plus yang berharga RM2 pada hari pertandingan untuk melayakkan mereka menyertai cabutan bertuah berkenaan," katanya.



