Tiket separuh akhir Selangor-Terengganu dijual 9 pagi Selasa

on .

BAGI mengelakkan berlakunya kesesakan di kaunter tiket menjelang perlawanan, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) akan menjual tiket perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia membabitkan Selangor dan Terengganu bermula dari pukul 9 pagi Selasa.

Bendahari FAS, Datuk S Sivasundaram berkata, tiket-tiket berharga RM15 dewasa dan RM5 kanak-kanak akan dijual di kaunter tiket Stadium Shah Alam dari pukul 9 pagi Selasa sehingga detik perlawanan bermula pada 8.45 malam Selasa.

"Saya harap para penyokong setia Selangor datang beramai-ramai untuk memberi sokongan padu bagi memastikan pasukan Selangor mendapat bekalan selesa ke separuh akhir kedua di Kuala Terengganu pada Jumaat, seterusnya berjaya mara ke final.

"Saya bagi pihak FAS turut ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyokong Selangor yang telah memberi sokongan tidak berbelah bagi dan suntikan semangat kepada pasukan bagi membantu para pemain beraksi dengan cemerlang.

"Sebagai tanda penghargaan, pihak FAS bersetuju untuk tidak menaikkan harga tiket bagi peringkat separuh akhir ini, sebaliknya mengekalkannya pada harga biasa iaitu RM15," kata Sivasundaram kepada faselangor.my.

logo mbi  logo kappa  logo arena