Ayuh gegarkan Bukit Jalil!

on .

BAGI merealisasikan hasrat untuk membawa pulang gelaran pertama musim ini, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mula giat menjalankan beberapa aktiviti dengan fokus utama mereka ialah untuk meminta ribuan penyokong setia skuad Gergasi Merah itu untuk memenuhi setiap inci tempat duduk Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pertemuan dengan Kelantan di stadium yang kini menjadi venue rasmi lawan itu pastinya perlu dibantu sokongan moral peminat selepas FAS sedar betapa pasukan yang mendapat jolokan 'Wira Merah' itu mempunyai lebih daripada satu sebab untuk memenangi Piala FA pada perlawanan akhir, Sabtu ini.

"Kami sedar hakikat itu. Memang Kelantan begitu dahagakan kemenangan selepas lebih 20 tahun mereka tidak pernah membawa pulang sebarang gelaran pada saingan tempatan. Ini adalah musim terbaik mereka untuk berbuat demikian kerana Kelantan memiliki barisan pemain yang boleh dianggap bintang.

"Kami di FAS juga tidak mahu ketinggalan untuk bergelar pemenang Piala FA selepas kami gagal berbuat demikian musim lalu. Kami tidak rela luka yang berlaku tahun lalu berulang lagi kali ini. Justeru, kami mengharapkan penyokong setia Gergasi Merah untuk hadir beramai-ramai menyokong pasukan kami," kata Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin.

Jam 11 pagi Khamis ini, FAS akan mengedarkan 200 keping tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir di Sekolah Kebangsaan Gombak 2 dan Hamidin berkata, keutamaan akan diberikan kepada pelajar dan PIBG sekolah itu manakala pada sebelah petang, satu majlis ramah mesra bersama pemain Selangor akan diadakan di Padang SUK, Shah Alam pada jam 6 Petang.

"Majlis itu adalah anjuran Kelab Penyokong Selangor dan semua penyokong turut dijemput untuk memeriahkan lagi majlis berkenaan. Itu adalah tempoh terbaik bagi peminat untuk lebih mengenali pemain-pemain Selangor," katanya.

Keesokkannya, semua pemain dan pegawai pasukan Selangor akan menghadiri majlis minum pagi bersama Menter Besar yang juga Presiden FAS, Tan Sri Khalid Ibrahim di kediamannya.

Hamidin berkata, tiket untuk perlawanan akhir Piala FA akan mula dijual di pintu masuk A Stadium Shah Alam mulai hari Khamis, jam 9 pagi hingga 7 petang.

"Saya berharap penyokong setia Selangor akan membeli tiket lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan yang mungkin timbul nanti," kata Hamidin.

Selangor

logo mbi  logo kappa  logo arena