Berilah Mereka Peluang
Pemain muda Selangor, Mohd Azrul Hafiq Mohd Amran tidak pernah lepas daripada cercaan peminat setiap kali dia mendapat bola dan pada usia 18 tahun, apa yang diperlukan pemain skuad Piala Presiden itu ialah sokongan dan bukannya penghinaan.
"Saya faham dan sedar bahawa Muhd Hafiq sering tidak dipedulikan penyokong dan lebih buruk lagi, dia kerap dikutuk oleh peminat. Dia perlukan sokongan untuk terus maju dan bukannya penghinaan seperti itu," kata penolong jurulatih skuad Selangor, P Maniam.
Muhd Hafiq disenaraikan di dalam skuad senior Selangor selaras dengan peraturan yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mahukan setiap pasukan di dalam Liga Super dan Perdana menurunkan sekurang-kurangnya seorang pemain bawah 20 tahun pada setiap aksi.
Muhd Afiq bukanlah pilihan utama sebaliknya rakan sepasukannya, Mohd Zameer Zainun dan Muhd Fareez Mohd Asnawi sering dipilih tetapi kecederaan kedua-dua pemain itu hingga terpaksa dibedah membuatkannya perlu berehat hingga sekurang-kurangnya dua bulan lagi.
"Kita tidak ada pemain lain untuk disenaraikan selain Muhd Hafiq dan C. Premnath. Mereka mempunyai potensi tetapi kita perlu memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk menyerlah. Saya dapati mereka adalah pemain yang baik tetapi apabila tidak mendapat sokongan yang sewajarnya, moral mereka terjejas teruk.
"Kita masih lagi mencari pemain lain yang mungkin boleh dijadikan ganti kepada Muhd Hafiq. Beberapa pemain kita yang bagus di dalam skuad Piala Presiden kini sedang membarisi skuad Harimau Muda.
"Apa yang kita harapkan sekarang ialah peminat bersabar dan memberikannya peluang untuk menyerlah dan saya yakin dia mampu menjadi seorang pemain yang lebih baik berbanding apa yang dipersembahkan ketika ini," katanya.


