Buruan Liga Super diteruskan

on .

PERTEMUAN menentang Kedah mungkin boleh dianggap sebagai rintangan terbesar Selangor dalam usaha memburu gelaran selaku juara Liga Super - kejuaraan yang masih belum pernah dikecap skuad Gergasi Merah itu sejak ia mula diperkenalkan.

Hakikat itu diakui jurulatih, K Devan yang pantas menuntut persembahan meyakinkan dan bertenaga daripada anak buahnya sambil mengingatkan mereka tidak boleh leka walaupun bakal beraksi di halaman sendiri.

Selain aksi mantap pemain, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) juga yakin sokongan padu peminat setia Gergasi Merah bakal memainkan peranan penting dalam menyuntik semangat pemain sekali gus memastikan tiga mata dapat diraih.

"Sokongan peminat memang satu faktor yang tidak boleh diketepikan. Jika tidak kerana peminat, Selangor tidak akan berada di tempatnya sekarang. Justeru, saya menyeru kepada semua peminat setia Selangor supaya datang beramai-ramai untuk memberikan sokongan padu kepada pemain kita.

"Kemenangan ke atas Kedah adalah amat bermakna kerana ia akan menjamin peluang Selangor untuk menambah satu lagi koleksi kejuaraan musim ini. Tetapi harus diingat, Selangor tidak akan berjaya tanpa sokongan peminat.

"Tiket-tiket untuk menyaksikan pertemuan Selangor-Kedah boleh didapati di pintu masuk Stadium Shah Alam mulai jam 9 pagi Sabtu ini. Tiket untuk dewasa berharga RM10 manakala kanak-kanak bawah 12 tahun akan dikenakan tiket sebanyak RM5.

"Kita menyeru peminat setia Selangor untuk datang mendapatkan tiket itu lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan. Kita mempunyai jumlah tiket yang terhad dan jika tidak mahu berputih mata, mereka perlu mendapatkannya lebih awal," kata Bendahari FAS, S Sivasundaram.

Selangor

logo mbi  logo kappa  logo arena