Devan letak jawatan, Maniam ambil alih
KETUA jurulatih Selangor, K Devan membuat keputusan meletak jawatan semalam, sekali gus memaksa Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) melantik penolongnya, P Maniam sebagai jurulatih baru Selangor untuk baki saingan Piala Malaysia musim ini.
Perkara tersebut diumumkan Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin pada satu sidang media khas yang diadakan di Padang SUK, Shah Alam, petang semalam yang bagaimanapun tidak dihadiri Devan.
"Selepas perlawanan dengan T-Team (Selangor kalah 1-2), Devan telah berjumpa saya dan pihak pengurusan untuk membincangkan hal ini. Beliau telah nyatakan hasrat mengundur diri.
"Jadi semalam (kelmarin) dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pasukan Liga Super, Datuk Mokhtar Ahmad (Timbalan Presiden FAS) telah memujuk Devan tetapi akhirnya selepas persetujuan bersama, kontrak beliau ditamatkan berkuatkuasa hari ini (sepatutnya 31 November 2011).
"FAS berasa agak sedih tetapi disebabkan memikirkan pasukan, inilah keputusan terbaik. Saya bagi pihak FAS ingin merakamkan terima kasih kepada Devan dengan komitmen beliau sepanjang tiga tahun membimbing Selangor.
"Sejak membawa pasukan pada 2009, Devan telah memberikan kita trofi Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih pada 2009 serta trofi Liga Super dan Piala Sumbangsih pada 2010. Satu khidmat yang tak boleh dilupakan," kata Hamidin.
Berikutan tindakan Devan meletak jawatannya itu, pihak pengurusan FAS malam kelmarin telah membuat keputusan melantik Maniam sebagai jurulatih baru Selangor sambil dibantu seorang lagi penolong jurulatih sedia ada, Rosedy Nadzir dan jurulatih penjaga gol, Azmin Azram Abd Aziz.
"Maniam merupakan penolong jurulatih skuad Liga Super Selangor sejak 2009. Beliau juga pernah membawa Selangor muncul juara Piala Belia 2006 dan Piala Presiden 2008 serta memenangi pingat perak Sukma 2010. Beliau memiliki Lesen A.
"Maniam akan mengendalikan pasukan untuk baki dua perlawanan menentang PDRM (Sabtu ini) dan Kuala Lumpur (Selasa depan). Saya minta para pemain supaya beri sokongan kepada Maniam.
"Kita tak hirau keputusan perlawanan membabitkan T-Team dan Kuala Lumpur. Yang penting kita kena menang dua baki perlawanan ini untuk membersihkan imej Selangor. Kalau ada rezeki, kita tetap akan ke suku akhir," jelas Hamidin.
Namun menurut Hamidin, FAS masih belum membuat keputusan untuk melantik mana-mana jurulatih dan pemain bagi saingan Liga Malaysia 2012 dan semua itu hanya akan dilakukan selepas tamat kempen Piala Malaysia musim ini.
Sementara itu, Maniam, 43, berkeyakinan tinggi bahawa Selangor mampu bangkit pada baki dua perlawanan Kumpulan D, seterusnya berharap dapat mara ke suku akhir bagi meneruskan sisa perjuangan merealisasikan Misi 33.
"Untuk perlawanan pertama saya sebagai jurulatih, saya akan pastikan pasukan melakukan yang terbaik untuk menewaskan PDRM, Sabtu ini.
"Saya akan tukar sedikit taktikal. Lain jurulatih, lain corak taktikalnya. Tapi saya tetap menghormati Devan, saya anggap beliau sebagai sifu. Saya telah banyak belajar daripada beliau," ujar Maniam.
Bagi kapten Selangor, Amri Yahyah pula, perletakkan jawatan Devan sesuatu yang mengejutkan beliau dan juga para pemain lain.
"Memang rasa dukacita dengan berita ini yang kami terima secara tiba-tiba. Tapi semua pemain berjanji akan terus beri komitmen tinggi di bawah kendalian jurulatih Maniam.
"Kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi baki dua perlawanan ini untuk menyelamatkan maruah Selangor," tegas Amri.


