Devan puas
BUAT pertama kalinya sejak mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih bersama skuad Selangor, K Devan dapat menyaksikan sendiri aksi empat pemain Gergasi Merah yang selama ini menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan.
"Saya cukup puas hati dengan persembahan dan bakat yang mereka ada. Saya yakin jika aksi serupa itu dapat dikekalkan untuk masa-masa yang akan datang, tidak mustahil Selangor akan muncul sebagai antara pasukan yang perlu diperhatikan," kata Devan.
Ternyata pemilihan Mohd Safee Sali, Mohd Asrarudin Putra Omar, Amirulhadi Zainal dan Mohd Hardi Jaafar untuk menyarung jersi kebangsaan bukanlah satu kesilapan dan Devan sendiri mengakui keempat-empat pemainnya itu mempunyai keistimewaan sendiri.
Devan mula membimbing Selangor sejak 13 Oktober lalu dan sesi latihan di padang SUK semalam turut disertai keempat-empat pemain berkenaan dan yang pertama di bawah kendalian bekas pengendali skuad KM Naza itu.
"Saya melihat mereka buat pertama kali ketika sesi latihan semalam dan saya tertarik dengan kesungguhan serta semangat yang mereka pamerkan.
"Mereka mempunyai kualiti yang diperlukan untuk menjadi pemain yang hebat pada masa depan dan apa yang paling membanggakan saya ialah walaupun mereka bergelar pemain kebangsaan, mereka tetap bersaing untuk merebut tempat di dalam kesebelasan utama.
"Semangat seperti itulah yang saya mahu kerana saya tidak akan memberi peluang kepada mana-mana pemain yang malas," kata Devan.


