Empat calon FAS intai kerusi FAM

on .

Selangor

ATAS dasar mahu bersama-sama melonjakkan kembali imej bola sepak negara, empat pemimpin kanan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengambil keputusan untuk menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan pada sidang kongres Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bakal berlangsung Sabtu ini.

Empat nama besar itu diketuai Timbalan Presiden, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad, Naib Presiden, Datuk Subahan Kamal, Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd Amin serta Bendahari, S Sivasundaram.

Abdul Mokhtar yang sudah 20 tahun bergelumang di dalam arena bola sepak, menawarkan diri untuk merebut salah satu daripada dua kerusi Timbalan Presiden manakala Subahan yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan skuad bawah 23 tahun Malaysia di Sukan Sea Laos hujung tahun lalu, bertanding jawatan Naib Presiden yang menawarkan empat kerusi dengan lapan calon.

Hamidin yang menjadi antara nama-nama pilihan dalam sidang kongres ke-47 badan induk kebangsaan itu turut memilih untuk bertanding jawatan Naib Presiden manakala Sivasundaram pula bertanding kerusi Exco. Bagaimanapun, pada pemilihan kali ini, Sivasundaram dicalonkan untuk jawatan Exco FAM menerusi tiket selaku Bendahari Majlis Sukan India Malaysia.

Ketokohan keempat-empat wakil dari FAS itu memang diakui ramai dan ketika pemerhati serta pengkritik sukan menyeru supaya perwakilan membuat pemilihan berdasarkan kepada kemampuan serta catatan rekod calon, peluang semua wakil FAS itu dilihat cerah.

Sebutlah siapa saja - dari bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad, pengkritik serta bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh atau Shebby serta seorang lagi pengkritik bola sepak, Hassan Tun Sulaiman, semuanya menjadikan Selangor sebagai badan induk contoh dan mengakui wakil-wakil FAS itu patut di beri peluang untuk berada di dalam FAM.

Ketika FAM bergelut dengan pelbagai kontroversi serta berdepan kritikan yang cukup hebat, inilah masa yang terbaik untuk badan induk kebangsaan itu berubah dan mereka memerlukan pegawai serta pemimpin yang benar-benar berwibawa serta mampu diharapkan.

Setakat ini, Selangor menjadi antara persatuan bola sepak (FA) negeri yang tidak pernah gagal melunaskan gaji serta elaun pegawai dan pemain. Belum pernah kedengaran ada pemain Selangor yang tampil mengadu bahawa mereka belum mendapat gaji dan sebagainya.

Semua itu berpunca daripada corak kepimpinan serta pentadbiran yang mantap dan cekap. Justeru, FAS kerap kali dijadikan contoh rujukan oleh FAM sendiri setiap kali bercakap mengenai gaji pemain.

logo mbi  logo kappa  logo arena