K Lumpur 2 Selangor 4

on .

SELANGOR kini selesa berkelebihan enam mata di tangga teratas Liga Super setelah berjaya menewaskan Kuala Lumpur 4-2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

Biarpun Kuala Lumpur dua kali bangkit menyamakan kedudukan, Selangor membuktikan kehebatan mereka apabila menambah dua lagi gol pada penghujung perlawanan.

Selangor memperolehi gol pertama menerusi Liew Kit Kong yang menanduk masuk bola sepakan percuma Hardi Jaafar pada minit kelapan.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Sebaik babak kedua bermula, Kuala Lumpur hanya memerlukan seminit untuk menyamakan kedudukan setelah rembatan jarak jauh Raimi Mohd. Nor berjaya memperdayakan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.

Selangor kembali mendahului pada minit ke-65 apabila Amri Yahyah pantas menolak masuk bola sepakan percuma Safiq Rahim untuk gol kedua pasukan pelawat.

Namun seminit kemudian, Kuala Lumpur dihadiahkan sepakan penalti setelah bola terkena tangan Nasriq Baharom dan Raimi yang mengambil sepakan itu mudah menewaskan Hamsani bagi mengikat kedudukan 2-2.

Selepas itu, Selangor nyata terlalu sukar disekat Kuala Lumpur apabila mereka berjaya menambah dua lagi gol.

Amri menyumbat gol ketiga Selangor dan kedua peribadinya pada minit ke-73 setelah bijak menyudahkan lambungan cantik Amirulhadi Zainal dari tengah.

Pada masa kecederaan, Safiq melengkapkan kemenangan Selangor dengan gol keempat hasil sepakan lambung dari sebelah kiri yang memerangkap penjaga gol Kuala Lumpur, Norazlan Razali.

Selangor akan bertemu KL Plus di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini disusuli pertemuan dengan Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Selasa depan.

KUALA LUMPUR: 1.Norazlan Razali, 5.Kamarulzaman Mahamud (6.Jeremy Matthew Danker), 2.Shahrom Abdul Kalam, 25.Ahmad Dashila Tajuddin, 23.Farid Ramli, 18.Yong Kuong Yong (4.Ahmad Jihad Ismail), 8.Azidan Sarudin (c), 21.Syafiq Johari, 30.Ahmad Hazwan Bakri (17.Fahruzzahar Ali), 13.Raimi Mohd. Nor, 14.Badrul Hisyam Azmi.

SELANGOR: 21.Hamsani Ahmad, 19.D.Surendran (3.Razman Roslan), 5.Khairul Anuar Baharom, 6.Nasriq Baharom, 15.P.Gunalan, 20.Amirulhadi Zainal, 8.Safiq Rahim, 14.Hardi Jaafar, 18.Liew Kit Kong (7.Farderin Kadir), 17.Amri Yahyah (c), 10.Safee Sali (23.R.Surendren).

PENGADIL: Subkhiddin Salleh.

Selangor

logo mbi  logo kappa  logo arena