Kedah 2 Selangor 0

on .

SELANGOR tewas 0-2 kepada Kedah pada perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.

Perlawanan tersebut sebenarnya tidak membawa makna lagi kerana Selangor sudah pun sah bergelar juara setelah menewaskan Terengganu 2-0 di Stadium Shah Alam pada Sabtu lalu.

Selain Hamsani Ahmad dan Hardi Jaafar yang digantung serta Khairul Anuar Baharom, Bunyamin Umar dan Rudie Ramli yang cedera, Selangor turut merehatkan tonggak pertahanan, P. Gunalan.

Ternyata barisan pertahanan Selangor yang dibarisi D. Surendran, Nasriq Baharom, Razman Roslan dan Asraruddin Putra Omar agak longgar terutama pada separuh masa pertama.

Akibatnya Kedah berjaya memperolehi gol pertama seawal minit ke-9 apabila Faizal Abu Bakar yang tidak dikawal mudah merembat masuk bola lorongan Ahmad Shakir Md. Ali.

Kedah hampir menambah jaringan pada minit ke-40 tetapi mujur rembatan kencang Shakir dari sebelah kiri sekadar menggegar penjuru palang gol Selangor.

Selangor membuat pertukaran pertama seawal minit ke-42 apabila pemain sayap kiri, Farderin Kadir yang kurang berfungsi dikeluarkan dengan Liew Kit Kong masuk menggantikannya.

Baru seminit separuh masa kedua, Kit Kong nyaris menghadiahkan gol penyamaan buat Selangor tetapi percubaannya sempat dikeluarkan pemain pertahanan Kedah, Khairul Helmi Johari di atas garisan gol.

Pada minit ke-58, Shakir berjaya menanduk masuk bola ke dalam gawang gol Selangor tetapi ia tidak dikira kerana penyerang Kedah itu terlebih dahulu dikesan berkedudukan ofsaid.

Kedah bagaimanapun berjaya juga memperolehi gol kedua setelah rembatan kencang Baddrol Bakhtiar dari luar kotak penalti gagal ditepis keluar penjaga gol Selangor, Iqbal Suhaimi pada minit ke-70.

Dua minit kemudian, Selangor berpeluang merapatkan jurang tetapi percubaan Fazilidin Khalid dari luar kotak penalti sekadar menggegar tiang kiri gawang Kedah tatkala Helmi Eliza Elias sudah tertewas.

Pada minit ke-81, Selangor mengeluarkan Iqbal bagi memberi peluang aksi kepada penjaga gol ketiga, Fairul Azwan Shahrullail dan kedudukan 2-0 itu kekal hingga wisel penamat.

KEDAH: 1.Helmi Eliza Elias, 17.V.Thirumurugan (29.Arfan Rashid), 6.Shafizan Hashim, 20.Khairul Helmi Johari, 9.Azmi Muslim, 24.Faizal Abu Bakar, 8.Shahrul Nizam Mustafa (c), 21.Sabre Mat Abu, 7.Baddrol Bakhtiar, 18.Khyril Muhymeen Zambri (19.Shafiq Jamal), 4.Ahmad Shakir Md. Ali (13.Saramsak Kram).

SELANGOR: 22.Iqbal Suhaimi (1.Fairul Azwan Shahrullail), 19.D.Surendran, 3.Razman Roslan, 6.Nasriq Baharom (11.Zaiza Zainal Abidin), 4.Asraruddin Putra Omar, 20.Amirulhadi Zainal, 8.Safiq Rahim, 25.Fazilidin Khalid, 7.Farderin Kadir (18.Liew Kit Kong), 17.Amri Yahyah (c), 10.Safee Sali.

logo mbi  logo kappa  logo arena