Kelantan 3 Selangor 0
SELANGOR sekali lagi kandas di peringkat suku akhir Piala Malaysia apabila tewas 0-3 kepada Kelantan pada aksi di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi.
Kelantan mara ke separuh akhir dengan agregat 3-0 setelah perlawanan suku akhir pertama di Shah Alam pada Selasa lalu menyaksikan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.
Musim lalu, Selangor turut kandas di suku akhir apabila tewas pada penentuan sepakan penalti kepada Terengganu setelah terikat agregat 2-2.
Pada perlawanan malam tadi, kegagalan Selangor menyempurnakan beberapa peluang terhidang selain kecekapan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menggagalkan usaha skuad Merah Kuning merangkul kejuaraan kali ke-33.
Segalanya tampak baik pada 10 minit pertama permainan bermula dengan percubaan lemah kapten, Amri Yahyah pada minit ke-4 yang tepat ke dakapan Khairul Fahmi.
Seminit kemudian, Kelantan turut mengejutkan benteng pertahanan Selangor tetapi percubaan Akmal Rizal Rakhli sedikit tersasar.
Peluang keemasan diperolehi Selangor pada minit ke-11 apabila R. Surendren melakukan satu lorongan cantik dari sebelah kanan tetapi rembatan akhir oleh Safiq Rahim melambung tinggi.
Sebaliknya Kelantan pula berjaya memperolehi gol pertama pada minit ke-12 apabila Nor Farhan Muhammad melakukan rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.
Ketinggalan satu gol, Selangor makin tertekan tetapi terus mencuba menerusi rembatan Safiq dari luar kotak penalti pada minit ke-20 yang sekadar tepat ke dakapan Khairul Fahmi.
Pada minit ke-23, Kelantan mendapat pula gol kedua menerusi tandukan cantik Akmal Rizal hasil hantaran lintang kapten, Indra Putra Mahayuddin dari sebelah kiri untuk selesa mendahului 2-0 sehingga rehat.
Hanya selepas enam minit babak kedua bermula, jurulatih Selangor, K. Devan membuat dua pertukaran serentak.
Rudie Ramli dan Farderin Kadir dibawa masuk bagi menggantikan Safee Sali dan Safiq.
Kemasukan dua tenaga baru itu nyata mengubah tempo perlawanan apabila Selangor mula berjaya menguasai bola dan melancarkan serangan demi serangan.
Namun Khairul Fahmi terus cemerlang apabila menyelamatkan tiga percubaan Selangor dalam tempoh 10 minit.
Rembatan kencang Surendren ditampan baik Khairul Fahmi pada minit ke-58 diikuti sepakan kaki kiri Farderin yang ditepis keluar penjaga gol kebangsaan itu pada minit ke-60.
Amri turut mencuba dari luar kotak penalti pada minit ke-68 tetapi tepat pula ke dakapan Khairul Fahmi.
Ketika Selangor terus buntu, Kelantan pula berjaya memperolehi gol ketiga pada minit ke-78 menerusi satu serangan balas apabila hantaran Akmal Rizal dari kiri berjaya disudahkan dengan baik oleh Badhri Radzi.
Selepas berakhirnya perjuangan dalam Piala Malaysia, Selangor bakal mengharungi perlawanan terakhir mereka musim ini dengan bertemu Singapura pada aksi Piala Sultan Selangor 2010 di Stadium Shah Alam malam ini.
KELANTAN: 19.Khairul Fahmi Che Mat, 6.Farisham Ismail, 2.Azizi Mat Rose, 17.Rizal Fahmi Rosid, 24.Zairul Fitree Ishak, 10.Nor Farhan Muhammad, 8.Shakir Shaari, 16.Badhri Radzi (5.Khairul Eroza Razali), 23.Indra Putra Mahayuddin (c), 14.Akmal Rizal Rakhli (4.Zul Yusri Che Haron), 20.Hairuddin Omar (7.Nizad Ayub).
Simpanan tidak digunakan: 1.Syed Adney Syed Hussein, 3.S.Subramaniam, 15.Daudsu Jamaludin, 18.Wan Zaman Wan Mustapha.
SELANGOR: 21.Hamsani Ahmad, 19.D.Surendran, 5.Khairul Anuar Baharom, 6.Nasriq Baharom, 4.Asraruddin Putra Omar, 20.Amirulhadi Zainal, 8.Safiq Rahim (7.Farderin Kadir), 14.Hardi Jaafar, 17.Amri Yahyah (c) (24.Fitri Shazwan Raduwan), 10.Safee Sali (9.Rudie Ramli), 23.R.Surendren.
Simpanan tidak digunakan: 1.Fairul Azwan Shahrulail, 22.Iqbal Suhaimi, 11.Zaiza Zainal Abidin, 25.Fazilidin Khalid.
PENGADIL: R. Krishnan.


