Liga Futsal: Selangor muncul naib juara

on .

PENENTUAN sepakan penalti nyata tidak memihak kepada skuad futsal lelaki Selangor apabila mereka tewas 1-3 di tangan kelab Figos FC pada perlawanan akhir Liga Futsal Kebangsaan FAM-Felda 2008/09 di Felda Besout 3, Trolak, Perak petang Ahad lalu.

Sepanjang 40 minit permainan sebenar, kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Selangor ketinggalan pada minit ke-12 apabila Ahmad Rizal Abd. Rahim menolak masuk gol pertama Figos FC.

Ketinggalan 0-1, Selangor terus berusaha untuk mencari gol penyamaan dan hanya pada empat minit sebelum wisel penamat ditiupkan, Selangor memperolehi gol menerusi rembatan kaki kiri jarak jauh Mohd. Fariq Yusof.

Selangor boleh memenangi perlawanan itu jika kapten kebangsaan, Addie Azwan Zainal tidak mensia-siakan peluang satu lawan satu dengan penjaga gol Figos FC, S. Devandran ketika permainan berbaki beberapa saat.

Kesudahannya pada penentuan sepakan penalti, sepakan pertama Selangor yang diambil Badri Daud diselamatkan, sepakan kedua Mohd. Fariq Yusof masuk, sepakan ketiga kapten Ruzaley Abd. Aziz tersasar dan sepakan keempat Mohd. Fairuz Mohd. Noor diselamatkan.

Manakala, hanya sepakan ketiga Figos FC diambil N. Saravanan Kumar diselamatkan penjaga gol Selangor, Mohd. Firdaus Razali tetapi tiga sepakan lain diambil Jasman Patmee Meera, Ahmad Rizal Abd. Rahim dan Fadhil Yusof berjaya menggegar jaring.

Selangor sekadar membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 selaku naib juara sementara Figos FC memperolehi RM40,000 selaku juara.

Kekecewaan Selangor sedikit terubat apabila kapten mereka, Ruzaley Abd. Aziz dinobatkan selaku penjaring terbanyak dengan 15 gol.

Dalam pada itu, skuad futsal wanita Selangor sekadar menduduki tangga keempat bagi membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

SKUAD FUTSAL LELAKI SELANGOR:

1- Muhammad Shahril Abd. Hadi Kamil (PG), 2- Mohamad Hafiz Abd. Rahman (PG), 3- Mohd. Farid Mohammad, 4- Mohd. Fairuz Mohd. Noor, 5- Zulfahmi Zohri, 6- Mohd. Zary Affendi Mohd. Arif, 7- Mohd. Fariq Mohd. Yusof, 8- Mohd. Shafiq Aizat Abdul Aziz, 9- Mohamad Safuan Effendi Shuib, 10- Mohd. Ruzaley Abd. Aziz, 11- Mohd. Shahrizan Ahkuan, 12- Badri Daud, 13- Mohammad Aizat Mohd. Kamal, 14- Addie Azwan Zainal, 15- Mohd. Firdaus Razali (PG).

logo mbi  logo kappa  logo arena