Liga Super 2012: Felda United 1 Selangor 0
Selangor mengalami kekalahan pertama musim ini selepas tunduk kepada Felda United 1-0 dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka petang semalam.
Perlawanan berlangsung hambar di bawah terik matahari sebelum pemain Felda United, Azrul Ahmad menjaringkan gol menewaskan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali pada minit ke-30 selepas menerima hantaran daripada bekas pemain Kuala Lumpur, Yong Kuong Yong.
Seminit kemudian, kapten Selangor Amri Yahyah berpeluang menyamakan kedudukan namun hanya mampu menyepak lemah dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol lawan, Hamsani Ahmad.
Seminit sebelum rehat nasib Selangor bertambah malang apabila pemain sayap kiri Solihin Kanasian terpaksa dibawa keluar selepas mengalami kecederaan. Beliau digantikan dengan Mohd Fitri Shazwan Raduwan.
Selangor berusaha menyamakan kedudukan selepas aksi babak kedua bersambung namun buntu untuk menembusi kubu tuan rumah sehingga memaksa jurulatih Irfan Bakti memasukkan pemain penyerang R Surendren bagi menggantikan Safiq Rahim pada minit ke-66.
Fitri memperolehi kesempatan terbaik apabila diberi ruang oleh pertahanan lawan pada minit ke-70 namun sepakan derasnya dari hujung kotak penalti sedikit tersasar.
Selangor memperolehi peluang terakhir untuk menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan sepakan percuma pada masa kecederaan betul-betul di luar kotak penalti di hadapan pintu gol lawan namun sepakan Amirulhadi Zainal tinggi melewati palang gol lawan.
Selangor akan berhadapan Sarawak dalam aksi Liga Super seterusnya di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.


