Liga Super 2012: Selangor 0 Sarawak 0

on .

Selangor gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila hanya mampu seri 0-0 dengan Sarawak di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Jurulatih Irfan Bakti membuat beberapa perubahan terhadap kesebelasan utama yang beraksi ketika tewas kepada Felda United Selasa lalu dengan meletakkan Bunyamin Umar dan Fitri Shazwan Raduwan bagi mengambil tempat Azidan Sarudin dan Solihin Kanasian.

Namun begitu, Selangor tetap menghadapi kesukaran mengawal tempo perlawanan dan terpaksa menunggu sehingga ke minit ke-32 untuk benar-benar menguji gawang pelawat yang dijaga bekas penjaga gol Merah Kuning, Saiful Amar Sudar.

Apabila Selangor memperolehi sepakan percuma di luar kotak penalti lawan, pemain-pemain pelawat menjangkakan sepakan tersebut akan diambil oleh Safiq Rahim seperti lazimnya. Namun Asraruddin Putra Omar yang melepaskan sepakan deras yang walaupun berjaya menewaskan Saiful Amar, bola tersebut sekadar singgah di palang gol lawan sementara tindakan susulan Ramez Dayoub dua kali dinafikan pertahanan Sarawak.

Selang lima minit kemudian, Selangor memperolehi satu lagi peluang untuk membuka jaringan apabila larian ketua pasukan Mohd Amri Yahyah memperdayakan beberapa orang pemain pertahanan Sarawak sebelum melorongkan kepada Bunyamin yang tidak dikawal di dalam kotak penalti tetapi sepakannya tinggi melepasi gawang.

Malang menimpa Sarawak apabila terpaksa menukar penjaga gol, Saiful Amar Sudar yang megalami kecederaan sebelum berakhir babak pertama dan terpaksa digantikan dengan Sani Anuar Kamsani.

Di separuh masa kedua Selangor menggandakan asakan untuk mencari gol namun gagal mencipta peluang terbaik.

Pada minit ke-54, sepakan lambung Bunyamin dari luar kotak penalti hampir memerangkap Sani namun bekas penjaga gol Negeri Sembilan itu sempat menguis bola keluar.

Irfan kemudiannya memasukkan Azidan Sarudin, Solihin Kanasian dan R. Surendran bagi menambah sengat jentera serangan.

Skuad Merah Kuning bagaimanapun terus buntu untuk menyudahkan deretan peluang di depan gol. Malah Sarawak hampir mencipta kejutan apabila beberapa kali mengancam pertahanan Selangor dalam serangan balas pantas yang turut gagal disudahkan.

Untuk perlawanan seterusnya, Selangor bakal bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Sabtu depan bertemu T-Team pada Sabtu depan.

logo mbi  logo kappa  logo arena