Liga Super 2012: Selangor 1 Lions XII 1

on .

SELANGOR mencatat keputusan seri kali ketiga musim ini apabila diikat 1-1 oleh kelab dari Singapura, Lions XII pada perlawanan keenam Liga Super di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Jaringan kapten Lions XII, Shahril Ishak pada minit ke-42 berjaya disamakan K Gurusamy, tiga minit kemudian, namun tiada jaringan tambahan dihasilkan kedua-dua pasukan pada babak kedua.

Buat pertama kali musim ini, Selangor turun dengan 100 peratus pemain tempatan selepas pertahanan Lubnan, Ramez Dayoub digantung satu perlawanan manakala penyerang baru dari Croatia, Bosko Balaban masih tidak dapat diturunkan kerana belum menerima Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC).

Biarpun kehadiran penyokong agak kurang baik dengan hanya kira-kira 3,000 penonton dilihat pada aksi malam tadi, Selangor jelas menguasai permainan separuh masa pertama.

Namun Lions XII yang sesekali mengasak lebih menghadirkan bahaya terutama pada minit ke-18, dua percubaan daripada Baihakki Khaizan dan Agu Casmir berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Kelekaan pertahanan Selangor yang menyangka pemain Lions XII berada pada kedudukan ofsaid pada minit ke-42 memakan diri apabila ia mencetus keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti yang akhirnya menyaksikan Shahril berjaya melepaskan sepakan kaki kiri menewaskan Norazlan untuk gol pertama pelawat.

Gol itu bagaimanapun tidak menjatuhkan moral Selangor yang terus menguasai bola dan hasilnya, ketika permainan memasuki masa kecederaan dua minit untuk separuh masa pertama, umpanan kapten, Amri Yahyah disudahkan dengan rembatan deras Gurusamy dari luar kotak penalti yang menggamamkan penjaga gol Lions XII, Izwan Mahbud untuk gol penyamaan.

Terikat 1-1, Selangor memasuki babak kedua dengan lebih bersemangat dan pada minit ke-53, sepakan Safiq Rahim yang berjaya ditepis Izwan gagal disudahkan Amri apabila sepakannya sempat dihadang keluar salah seorang pemain pertahanan Lions XII di depan pintu gol.

Bagi menambah sengat di barisan depan, jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim membawa masuk Amirulhadi Zainal menggantikan Azidan Sarudin pada minit ke-57.

Namun gawang Selangor sekali lagi cemas pada minit ke-66, mujur tandukan Hariss Harun selepas sepakan percuma sempat ditepis keluar Norazlan.

Pada minit ke-71, peluang terbaik Selangor memperolehi gol kemenangan gagal disempurnakan Amirulhadi yang sekadar melepaskan rembatan kencang, sipi ke kanan gawang Lions XII untuk membolehkan anak-anak buah V Sundrammorthy pulang dengan satu mata.

Selangor selepas ini akan bertemu PKNS FC pada aksi ketujuh di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Sabtu ini.

SELANGOR: Norazlan Razali, Bunyamin Umar, Nasriq Baharom, Asraruddin Putra Omar, Adib Aizuddin Ab Latif, Solihin Kanasian, Azidan Sarudin (Amirulhadi Zainal 57), K Gurusamy, Safiq Rahim, Fitri Shazwan Raduwan (Razman Roslan 80), Amri Yahyah (c).
LIONS XII: Izwan Mahbud, Madhu Mohana, Hariss Harun, Baihakki Khaizan, Shakir Hamzah, Raihan Rahman (Yasir Hanapi 78), Isa Halim, Jumaat Jantan, Shaiful Esah, Shahril Ishak (c) (Sevki Shaban 90), Agu Casmir (Sufian Anuar 62).
Pengadil: Sew Tian Hu

logo mbi  logo kappa  logo arena