Liga Super 2012: Selangor 1 Perak 0
SELANGOR meraih kemenangan pertama musim ini selepas berjaya menewaskan Perak 1-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Negeri Sembilan 2-2 pada aksi sulung Liga Super 2012 di Paroi, Selasa lalu, tiga mata penuh diraih Selangor di laman sendiri malam tadi hasil jaringan tunggal Safiq Rahim.
Dengan mendominasi sepenuhnya babak awal permainan, gawang Perak bocor pada minit ke-23 selepas Safiq menyudahkan dengan baik hantaran Amri Yahyah untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Nasril Nourdin. Ia berpunca daripada gerakan solo Amri yang berjaya melepasi beberapa pemain Perak sebelum melambungkan bola kepada Safiq.
Selangor nyaris menambah gol pada minit ke-45, namun rembatan kencang Amirulhadi Zainal dari luar kotak penalti sempat ditepis keluar Nasril untuk kedudukan 1-0 kekal pada waktu rehat.
Perak dilihat mula mengimbangi permainan sebaik babak kedua bermula dengan mengatur beberapa gerakan menarik biarpun pada akhirnya sentuhan penyudah Akmal Rizal Rakhli dan Lazar Popovic tampak tumpul.
Sebaliknya pada minit ke-53, hantaran baik Amri dari sebelah kanan disepak tinggi Amirulhadi di depan pintu gol Perak manakala pada minit ke-61, Amri dijatuhkan Badrul Azam Zamri dalam kotak penalti tetapi tidak dilayan pengadil.
Minit ke-74, Amri berjaya melepasi ofsaid tetapi sepakannya ke arah gol sempat dikeluarkan Badrul di atas garisan.
Peluang Perak menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-84 tetapi gagal disudahkan penyerang gantian, Failee Ghazali yang merembat sipi di depan pintu gol Selangor yang dikawal Norazlan Razali.
Selangor selepas ini akan bertemu FELDA United di Stadium Hang Jebat, Melaka, 4.45 petang Selasa ini.


