Liga Super 2012: Selangor 2 Kelantan 1
SELANGOR berjaya menamatkan badi tanpa menang ke atas Kelantan selama hampir tiga tahun selepas menewaskan juara bertahan itu 2-1 pada aksi kelapan Liga Super di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Kali terakhir Selangor berjaya menewaskan Kelantan ialah pada final Piala FA 2009.
Lebih manis, kemenangan Selangor itu turut mencalarkan rekod tanpa kalah Kelantan sepanjang tujuh perlawanan awal, musim ini.
Namun Kelantan masih kekal di tangga teratas dengan 17 mata, dua mata mengatasi Perak di tangga kedua. Selangor naik satu anak tangga ke kedudukan ketujuh dengan 12 mata, berada di belakang Terengganu, Lions XII, T-Team dan Negeri Sembilan.
Pada aksi malam tadi, Selangor yang tewas 0-2 kepada PKNS FC, Sabtu lalu, mendapat suntikan semangat apabila penyerang import baru dari Croatia, Bosko Balaban akhirnya mendapat ITC dan dibenarkan untuk turun beraksi buat kali pertama.
Biarpun Selangor lebih banyak menguasai permainan separuh masa pertama, kedudukan 0-0 kekal hingga waktu rehat.
Baru seminit babak kedua bersambung, Selangor berjaya memperolehi gol pertama hasil rembatan Safiq Rahim dari luar kotak penalti yang tidak mampu dicapai penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat apabila bola menerjah laju ke penjuru kanan gawang Kelantan.
Gol kedua menyusul pada minit ke-74, berpunca lambungan cantik Safiq dari tengah padang yang disambut baik Balaban, kemudian disudahkan bekas penyerang Aston Villa itu dengan sepakan kemas tepat ke sudut kanan pintu gol Kelantan.
Selesa mendahului 2-0, gawang Selangor akhirnya bocor apabila S Subramaniam berjaya menolak masuk gol pertama Kelantan ketika berlaku keadaan kelam kabut di depan pintu gol Selangor pada masa kecederaan untuk kedudukan muktamad 2-1.
Saingan Liga Super berhenti rehat sehingga awal Mac, namun pusingan pertama Piala FA bakal berlangsung hujung minggu ini dengan Selangor diundi bertemu Shahzan Muda di Stadium Temerloh, Sabtu ini.


