Liga Super 2012: T-Team 1 Selangor 2

on .

SELANGOR akhirnya menamatkan badi kekalahan kepada T-Team selepas berjaya menewaskan kelab dari Terengganu itu 2-1 pada aksi kelima Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Untuk rekod, sepanjang empat pertemuan kedua-dua pasukan pada Liga Super dan Piala Malaysia musim lalu, Selangor tewas kesemua perlawanan tersebut.

Selepas sekadar seri 0-0 dengan Sarawak di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu, Selangor berjaya mendahului 1-0 pada minit ke-36 hasil sepakan penalti Ramez Dayoub selepas Rosdi Talib menjatuhkan Fitri Shazwan Raduwan.

T-Team kendalian Yunus Alif bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-48, juga menerusi sepakan penalti yang disudahkan kapten, Zairo Anuar Zalani selepas Zacharia Simukonda dijatuhkan Dayoub.

Bagi menambah sengat di barisan serangan, jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim memasukkan Safiq Rahim menggantikan Bunyamin Umar.

Nyata percaturan itu menjadi apabila sepakan sudut Safiq berjaya ditanduk masuk Azidan Sarudin untuk gol kemenangan Selangor pada minit ke-78.

Dengan kemenangan itu, Selangor kini naik ke tangga kelima Liga Super di belakang Kelantan, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan, dengan mengumpul 8 mata hasil dua menang, dua seri dan sekali tewas.

Untuk perlawanan keenam, Selangor akan bertemu Lions XII di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 8 Februari depan.

T-TEAM: Iqbal Suhaimi, Alif Alias, Norfazly Alias, Bojan Petric, Rosdi Talib, Faiz Subri, Tengku Hasbullah Raja Hassan, Zairo Anuar Zalani (c), Hasbullah Awang, Fadzli Saari, Zacharia Simukonda.
SELANGOR: Norazlan Razali, Nasriq Baharom, Asraruddin Putra Omar, Ramez Dayoub, P Gunalan, Amirulhadi Zainal, Bunyamin Umar, K Gurusamy, Fitri Shazwan Raduwan, Azidan Sarudin, Amri Yahyah (c).

logo mbi  logo kappa  logo arena