Liga Super: Felda United 0 Selangor 1
SELANGOR kembali merampas tangga teratas Liga Super daripada Kelantan setelah berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Felda United di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.
Ia hadiah terbaik sempena hari jadi jurulatih Selangor, K. Devan yang kini genap berusia 50 tahun.
Kejayaan Selangor itu turut dibantu dengan kekalahan 0-4 Kelantan kepada Perak di Ipoh, sekali gus menyebabkan pasukan Pantai Timur itu turun ke tangga keempat.
Dengan 23 mata selepas 11 perlawanan, Selangor kini diekori rapat Perak di tangga kedua dengan 22 mata, Terengganu ketiga dengan 21 mata dan Kelantan keempat dengan 20 mata.
Lantas pertemuan Selangor dengan Perak di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini pasti menjadi perlawanan yang cukup menarik kerana ia menemukan dua pasukan teratas liga ketika ini.
Pada aksi malam tadi, Selangor turun tanpa beberapa tonggak utama seperti kaptennya, Amri Yahyah, P. Gunalan dan Hardi Jaafar yang digantung dan mengalami kecederaan.
Turut direhatkan ialah Iqbal Suhaimi yang membuka ruang buat penjaga gol kedua Selangor, Saiful Amar Sudar diturunkan kali pertama dalam kesebelasan utama musim ini.
Gol kemenangan Selangor dijaringkan Fadzli Saari yang menanduk masuk bola sepakan sudut Safiq Rahim pada minit ke-14 yang gagal diselamatkan bekas penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.
Biarpun memperolehi beberapa lagi peluang terbaik pada babak kedua, Selangor gagal menambah jaringan dan kemenangan tipis itu cukup berharga untuk mereka kembali menerajui carta liga.
FELDA UNITED: 21. Hamsani Ahmad, 18. Juzaili Samion, 2. Khairul Anuar Jamil, 22. Kaironnisam Sahabudin (c), 3. Ramesh Lai Ban Huat, 19. K. Rajan (24. Syazwan Zainon), 8. Rashid Mamud, 14. Mohd. Lot Abu Hassan (7. Azrul Ahmad), 23. Nizam Abu Bakar, 9. Farderin Kadir (15. Zamri Chin), 10. Nizaruddin Yusof.
SELANGOR: 21. Saiful Amar Sudar, 3. Razman Roslan, 5. Khairul Anuar Baharum (c), 16. Yosri Derma Raju, 4. Asraruddin Putra Omar, 20. Amirulhadi Zainal, 8. Safiq Rahim, 18. Azidan Sarudin, 24. Fitri Shazwan Raduwan (19. D. Surendran), 9. Rudie Ramli (25. Fazilidin Khalid), 23. Fadzli Saari (7. S. Sritharan).
Lagi gambar dari perlawanan Felda United lawan Selangor>> KLIK DI SINI


