Liga Super: Harimau Muda A 1 Selangor 2

on .

SELANGOR berjaya merampas tangga teratas Liga Super setelah menewaskan Harimau Muda A 2-1 pada aksi di tempat lawan yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam tadi.

Kekalahan Kelantan kepada T-Team 3-4 di Kuala Terengganu meletakkan Selangor kini mengumpul 20 mata manakala Perak yang menewaskan Perlis 2-1 di Ipoh naik ke tangga kedua dengan 19 mata.

Sementara Kelantan pula jatuh dua anak tangga ke tempat ketiga dengan 17 mata selepas saingan kini selesai sembilan perlawanan.

Namun kemenangan Selangor malam tadi hanya dicapai menerusi dua jaringan lewat Asraruddin Putra Omar dan Amirulhadi Zainal pada 10 minit terakhir permainan.

Selangor ketinggalan seawal minit keenam apabila kesilapan penjaga gol, Iqbal Suhaimi mendakap kemas rembatan Wan Zack Haikal Wan Nor menyebabkan bola muntah tersebut mudah dikuis masuk Fandi Othman.

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor berusaha mencari gol penyamaan dan pada minit ke-30 sepakan gunting Amri Yahyah hasil hantaran Fadzli Saari dari sebelah kiri sedikit tersasar.

Seminit kemudian, giliran Fadzli melakukan percubaan dari dalam kotak penalti tetapi juga sipi ke sebelah kiri gawang Harimau Muda A.

Pada minit ke-38, Harimau Muda A pula hampir berjaya menggandakan jaringan tetapi mujur rembatan K. Gurusamy dari dalam kotak penalti gagal menepati sasaran.

Bermula babak kedua, tiada sebarang pertukaran dilakukan jurulatih Selangor, K. Devan mahu pun jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee.

Fadzli terus buntu apabila dia sedikit lewat melepaskan rembatan yang sempat dihadang pemain pertahanan tengah Harimau Muda A, Fadhli Shas pada minit ke-52.

Devan melakukan pertukaran pertama pada minit ke-65 dengan memasukkan Asraruddin menggantikan Fadzli.

Asraruddin mengisi tempat Hardi di posisi sayap kiri, Hardi diubah ke posisi sayap kanan mengisi tempat Amirulhadi yang digandingkan pula dengan Amri di bahagian serangan menggantikan Fadzli.

Amaran awal dilakukan Asraruddin apabila tandukannya pada minit ke-72 sempat ditampan penjaga gol Harimau Muda A, Zamir Selamat sebelum tindakan susulan Amirulhadi tersasar.

Harimau Muda A tidak berdiam diri malah hampir memperolehi gol kedua pada minit ke-76 tetapi rembatan kencang Gurusamy dari luar kotak penalti sekadar menggegar palang gol Selangor.

Selangor akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-80 apabila sepakan sudut Safiq Rahim berjaya ditanduk masuk oleh Asraruddin untuk menewaskan Zamir.

Zamir sekali lagi tewas pada minit ke-84 menerusi satu serangan balas Selangor yang disudahkan dengan sepakan tenang Amirulhadi untuk gol kedua Selangor.

Sabtu ini, Selangor akan menanti kunjungan T-Team di Stadium Shah Alam untuk perlawanan ke-10.

HARIMAU MUDA A: 22. Zamir Selamat, 2. Mahali Jasuli, 4. Fadhli Shas, 15. Amer Saidin, 21. Affize Faisal Mamat, 16. Wan Zack Haikal Wan Nor (9. A. Thamil Arasu), 8. Shukor Jusoh, 11. K. Gurusamy (c), 17. Fandi Othman (19. Wan Zaharulnizam Wan Zakaria), 7. Irfan Fazail (23. Syahid Zaidon), 18. Syahrul Azwari Ibrahim

SELANGOR: 22. Iqbal Suhaimi, 3. Razman Roslan (19. D. Surendran), 5. Khairul Anuar Baharum, 16. Yosri Derma Raju, 15. P. Gunalan, 20. Amirulhadi Zainal, 8. Safiq Rahim, 18. Azidan Sarudin, 14. Hardi Jaafar (24. Fitri Shazwan Raduwan), 17. Amri Yahyah (c), 23. Fadzli Saari (4. Asraruddin Putra Omar)

PENGADIL: Nafeez Abdul Wahab

Lagi gambar dari perlawanan Harimau Muda A lawan Selangor>> KLIK DI SINI

logo mbi  logo kappa  logo arena