Liga Super: Kedah 0 Selangor 2

on .

SELANGOR kembali merampas tangga teratas Liga Super daripada Kelantan selepas berjaya menewaskan Kedah 2-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.

Namun ia mungkin hanya akan bertahan selama 24 jam andai Kelantan berjaya menewaskan Negeri Sembilan di Paroi pada aksi tunggal yang akan berlangsung malam ini.

Jika Kelantan tewas atau sekadar seri, Selangor akan kekal di tangga teratas itu selama 10 hari kerana perlawanan ke-20 Liga Super hanya akan berlangsung pada Rabu minggu depan (19 Mei).

Selangor kini mengumpul 42 mata, Kelantan 39 mata (kurang satu perlawanan) manakala Terengganu kekal dengan 38 setelah tewas mengejut 1-2 di tangan Johor FC di Pasir Gudang malam tadi.

Pada aksi di Stadium Darul Aman, kedudukan separuh masa pertama menyaksikan Kedah dan Selangor terikat tanpa jaringan.

Gol pertama Selangor hanya hadir pada minit ke-59 setelah hantaran Safiq Rahim dari sebelah kiri ditampan baik Amri Yahyah untuk dirembat masuk oleh Fadzli Saari menewaskan penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias.

Sisa perjuangan Kedah untuk mencari gol penyamaan lebur pada minit ke-88 apabila pemain gantian, Rudie Ramli mudah menolak masuk bola hantaran P. Gunalan dari sebelah kiri untuk gol kedua Selangor.

Perlawanan malam tadi juga menyaksikan pemain sayap Selangor, K. Depan Sakwati turun beraksi buat pertama kali musim ini apabila dia masuk menggantikan Amirulhadi Zainal.

Selangor bakal mengalih tumpuan seketika kepada saingan separuh akhir pertama Piala FA menentang Kelantan di Stadium Shah Alam pada Jumaat ini.

Separuh akhir kedua pula bakal berlangsung di Kota Bharu pada Isnin depan.

Sementara bagi aksi ke-20 Liga Super pada 19 Mei depan, Selangor akan bertemu T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada jam 4.45 petang.

KEDAH: 1. Helmi Eliza Elias, 17. V. Thirumurugan, 3. Shahril Faizal Sharifuddin, 2. Fauzie Nan (c), 6. Shafizan Hashim, 9. Azmi Muslim, 8. Amar Rohidan, 7. Baddrol Bakhtiar, 28. Fiqry Isa (26.Hattaphon Bun Ann), 19. Faizal Abu Bakar (23. Firdaus Faudzi), 18. Khyril Muhymeen Zambri (12.Ahmad Shakir Md. Ali).

SELANGOR: 21. Saiful Amar Sudar, 4. Asraruddin Putra Omar, 12. Bunyamin Umar, 16. Yosri Derma Raju, 15. P. Gunalan, 20. Amirulhadi Zainal (11. K. Depan Sakwati), 8. Safiq Rahim, 18. Azidan Sarudin, 14. Hardi Jaafar (24. Fitri Shazwan Raduwan), 17. Amri Yahyah (c), 23. Fadzli Saari (9. Rudie Ramli).

logo mbi  logo kappa  logo arena