Liga Super: Kelantan 1 Selangor 0

on .

SELANGOR mengalami kekalahan ketiga musim ini setelah tewas 0-1 kepada Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi.

Namun Selangor masih kekal di tangga teratas dengan 32 mata selepas 15 perlawanan.

Terengganu mengekori rapat di tangga kedua dengan 31 mata setelah menewaskan Sabah 2-1 di Kota Kinabalu manakala Kelantan di tangga ketiga dengan 30 mata.

Pada aksi malam tadi, Kelantan berjaya mendahului seawal minit keempat menerusi tandukan Norshahrul Idlan Talaha yang tidak dikawal hasil lontaran jauh Daudsu Jamaluddin dari sebelah kanan.

Kelantan ternyata menguasai permainan babak pertama sambil Selangor gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan tuan rumah yang diketuai S. Subramaniam dan Farisham Ismail.

Bermula babak kedua, Selangor mula menemui rentak dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-46 tetapi rembatan Amri Yahyah dari sudut sukar sebelah kanan sekadar menggegar palang gol Kelantan.

Pada minit ke-61, Kelantan hampir menambah jaringan tetapi rembatan Nurul Azwan Roya hasil lorongan Norshahrul dari sebelah kanan berjaya dihadang Razman Roslan tatkala penjaga gol Selangor, Saiful Amar Sudar sudah tertewas.

Jurulatih Selangor, K. Devan mengeluarkan Amirulhadi Zainal dan memasukkan Fitri Shazwan Raduwan pada minit ke-65 untuk menambah sengat di bahagian sayap.

Seminit kemudian, rembatan P. Gunalan dari dalam kotak penalti susulan sepakan percuma Hardi Jaafar berjaya ditepis keluar penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Dua lagi pertukaran dilakukan Devan dengan memasukkan Fadzli Saari menggantikan Azidan Sarudin (m-69) dan D. Surendran menggantikan Razman yang cedera (m-80).

Manakala jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu memasukkan Azuan Solehudin (m-71), Nizad Ayub (m-78) dan Khairan Ezuan Razali (m-86) bagi menggantikan Nurul Azwan Roya, Danial Fadzly Abdullah dan Badhri Radzi.

Namun kedudukan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat ditiup pengadil, Nafeez Abd. Wahab.

Selangor selepas ini akan bertemu Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Jumaat ini sebelum bertemu Kuala Lumpur di Cheras pada Selasa depan.

KELANTAN: 19. Khairul Fahmi Che Mat, 15. Daudsu Jamaluddin, 3. S. Subramaniam, 6. Farisham Ismail, 24. Zairul Fitree Ishak, 23. S. Chanthuru, 8. Shakir Shaari, 11. Danial Fadzly Abdullah (7. Nizad Ayub), 12. Nurul Azwan Roya (26. Azuan Solehudin), 16. Badhri Radzi (c) (21. Khairan Ezuan Razali), 9. Norshahrul Idlan Talaha

SELANGOR: 21. Saiful Amar Sudar, 3. Razman Roslan (19. D. Surendran), 6. Nasriq Baharom, 16. Yosri Derma Raju, 15. P. Gunalan, 20. Amirulhadi Zainal (24. Fitri Shazwan Raduwan), 12. Bunyamin Umar, 18. Azidan Sarudin (23. Fadzli Saari), 14. Hardi Jaafar, 8. Safiq Rahim, 17. Amri Yahyah (c)

PENGADIL: Nafeez Abd. Wahab

logo mbi  logo kappa  logo arena