Liga Super: Kuala Lumpur 1 Selangor 3

on .

SELANGOR terus menghimpit pendahulu Liga Super, Kelantan apabila mencatat kemenangan 3-1 ke atas pasukan jiran, Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

Berbaki sembilan lagi perlawanan, Selangor dan Kelantan kini masih terikat 36 mata tetapi Kelantan berkelebihan dari segi perbezaan gol.

Pada aksi malam tadi, Kelantan berjaya menewaskan Johor FC 1-0 di Pasir Gudang manakala Terengganu kekal ketinggalan satu mata di tangga ketiga selepas menewaskan Perlis 3-1 di laman sendiri.

Di Cheras, dua ledakan Rudie Ramli dan satu lagi gol menerusi sepakan percuma Safiq Rahim sudah cukup menghadiahkan tiga mata penuh buat Selangor.

Ia mengembalikan semula rentak kemenangan Selangor yang terhenti pada dua perlawanan sebelum ini apabila tewas 0-1 kepada Kelantan dan seri 1-1 dengan Terengganu, kedua-duanya di tempat lawan.

Selangor terus turun tanpa tiga tonggak utama, Khairul Anuar Baharum, Razman Roslan dan Amirulhadi Zainal yang masih mengalami kecederaan.

Tempat mereka kekal diisi Yosri Derma Raju di bek tengah, Asraruddin Putra Omar di bek kanan dan Rudie di sayap kanan.

Hardi Jaafar kembali mengisi posisi sayap kiri setelah digantung satu perlawanan ketika Selangor bertemu Terengganu pada Jumaat lalu.

Hanya 10 minit diperlukan Selangor untuk mendahului menerusi sepakan rendah kaki kanan Rudie betul-betul di luar kotak penalti tanpa mampu diselamatkan penjaga gol KL, Norazlan Razali.

Namun Kuala Lumpur berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-30 setelah lorongan Fahrul Razi Kamaruddin dari sebelah kanan dikuis sedikit Azmi Sarmin sebelum ditolak masuk Ahmad Hazwan Bakri.

Pintu gol Selangor terus cemas pada minit ke-36 tetapi mujur rembatan jarak jauh Syafiq Johari sempat ditepis keluar penjaga gol, Saiful Amar Sudar yang melayangkan badannya.

Pada minit ke-42, Azmi dan pertahanan Selangor, Nasriq Baharom kedua-duanya dilayangkan kad kuning kerana bertelagah di luar permainan.

Babak kedua bermula, Kuala Lumpur terus melakukan pertukaran pertama dengan memasukkan Badrul Hisyam Azmi menggantikan See Kok Luen manakala Selangor mengekalkan kesebelasan.

Hanya seminit diperlukan Selangor untuk memperolehi gol kedua, kali ini hasil sepakan percuma Safiq yang menuju tepat ke penjuru kanan gawang Kuala Lumpur tanpa mampu diselamatkan Norazlan.

Pada minit ke-60, Kuala Lumpur terpaksa beraksi 10 pemain setelah Azmi dilayangkan kad kuning kedua kerana menerjah keras pemain tengah Selangor, Azidan Sarudin.

Selangor akhirnya berjaya memanfaatkan kelebihan tersebut pada minit ke-89 apabila Rudie melakukan rembatan kaki kiri untuk gol ketiga pelawat menerusi satu serangan balas.

Perlawanan berikutnya, Selangor akan bertemu Johor FC di Stadium Shah Alam pada Jumaat ini sebelum bertandang ke Alor Setar untuk bertemu Kedah pada Isnin depan.

KUALA LUMPUR: 21. Norazlan Razali, 2. Shahrom Kalam (c), 20. Farouk Hashim, 25. Ahmad Dashila Tajudin, 17. Nazrin Nawi, 6. Fahrul Razi Kamaruddin, 22. Syafiq Johari (8. Norismaidham Ismail), 29. Hazwan Rahman (11. Syazmin Firdaus), 28. Ahmad Hazwan Bakri, 9. Azmi Sarmin, 12. See Kok Luen (14. Badrul Hisyam Azmi)

SELANGOR: 21. Saiful Amar Sudar, 4. Asraruddin Putra Omar, 6. Nasriq Baharom, 16. Yosri Derma Raju, 15. P. Gunalan, 9. Rudie Ramli, 8. Safiq Rahim (7. S. Sritharan), 18. Azidan Sarudin (25. Fazilidin Khalid), 14. Hardi Jaafar, 17. Amri Yahyah (c), 23. Fadzli Saari (24. Fitri Shazwan Raduwan)

PENGADIL: Shokri Nor

Lagi gambar dari perlawanan Kuala Lumpur lawan Selangor>> KLIK DI SINI

logo mbi  logo kappa  logo arena