Liga Super: N Sembilan 2 Selangor 2
SELANGOR bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk akhirnya berjaya mengikat juara sumbangsih, Negeri Sembilan 2-2 pada aksi sulung Liga Super 2012 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Dua jaringan penyerang import Negeri Sembilan, Jean Emmanuel Effa Owona pada minit ketiga dan ke-34 berjaya dibalas Amirulhadi Zainal (66) dan Safiq Rahim (74).
Effa Owona sekali lagi menggunakan kelebihan fizikalnya apabila dia yang tidak dikawal mudah menanduk masuk gol pertama Negeri Sembilan seawal minit ketiga menewaskan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali hasil lambungan dari sebelah kanan.
Negeri Sembilan terus selesa mendahului 2-0 pada minit ke-34 selepas Effa Owona berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang berpunca daripada tindakan bek tengah Selangor, Nasriq Baharom menjatuhkan Shahurain Abu Samah.
Bagi mengukuhkan benteng dan meningkatkan serangan, jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim bertindak mengeluarkan Nasriq pada minit ke-39 dan memasukkan Solihin Kanasian.
Asraruddin Putra Omar yang beraksi di posisi sayap kiri menggantikan tempat Nasriq untuk bergandingan dengan Ramez Dayoub manakala Solihin mengambi alih tempat Asraruddin.
Pada masa kecederaan babak pertama, Azidan Sarudin dijatuhkan di dalam kotak penalti tetapi ia tidak dilayan pengadil.
Bersambung babak kedua, jurulatih Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah memasukkan Norismaidham Ismail menggantikan Rashid Mamud pada minit ke-59 manakala Irfan melakukan pertukaran kedua dengan memasukkan R Surendren menggantikan Azidan, minit ke-62.
Semangat Selangor kembali membara apabila rembatan leret Amirulhadi pada minit ke-66 berjaya menghasilkan gol pertama menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Marlias untuk kedudukan 2-1.
Gol penyamaan Selangor kemudian menyusul pada minit ke-74 menerusi Safiq selepas Shahurain menjatuhkan Solihin.
Biarpun Selangor terus mengasak selepas itu, mereka gagal mendapatkan gol kemenangan untuk berpuas hati pulang dengan mencuri satu mata.
Perlawanan kedua selepas ini, Selangor akan menanti kunjungan Perak di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.


