Liga Super: Sabah 1 Selangor 2
SELANGOR terus kekal di tangga teratas Liga Super selepas berjaya menewaskan Sabah 2-1 pada aksi pertama saingan pusingan kedua di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam tadi.
Ia merupakan tiga mata penuh yang cukup bermakna memandangkan Sabah begitu kebal apabila beraksi di gelanggang keramat mereka itu.
Selangor turun tanpa penyerang utama, Fadzli Saari yang cedera, sekali gus meletakkan kapten, Amri Yahyah beraksi sebagai penyerang tunggal sambil dibantu Safiq Rahim.
Posisi tengah dijana oleh Azidan Sarudin dan Bunyamin Umar manakala Saiful Amar Sudar kekal sebagai penjaga gawang.
Tuan rumah bagaimanapun dilihat menguasai babak awal permainan.
Sabah membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 apabila Rosdin Wasli berjaya menanduk masuk bola sepakan percuma Hariri Safii dari sebelah kanan.
Ia bolos pertama penjaga gol Selangor, Saiful Amar Sudar musim ini selepas kebal pada tiga perlawanan menentang Felda United, Perak dan Sabah di Shah Ala sejak dia menggantikan Iqbal Suhaimi.
Pada minit ke-16, Selangor terpaksa membuat pertukaran pertama dengan memasukkan P. Gunalan bagi menggantikan bek tengah, Khairul Anuar Baharum yang mengalami kecederaan.
Asraruddin Putra Omar yang beraksi di posisi bek kiri ditolak ke posisi bek tengah untuk bergandingan dengan Nasriq Baharom manakala Gunalan mengambil tempatnya.
Sabah dilihat berterusan menguasai permainan terutama di posisi tengah sambil para pemain Selangor tampak ketandusan idea untuk memecah benteng pertahanan tuan rumah.
Namun selepas setengah jam beraksi, Selangor mula mendapat rentak dan pada minit ke-35, hantaran Amirulhadi Zainal dari sebelah kanan ditolak cantik Amri tetapi penjaga gol Sabah, Syed Adney Syed Hussein pantas menepis bola keluar.
Bagaimanapun seminit kemudian, Selangor berjaya memperolehi gol penyamaan hasil tandukan Bunyamin yang menyambut cantik bola sepakan sudut Hardi Jaafar.
Ia merupakan aksi sulung Bunyamin dalam kesebelasan utama Selangor musim ini setelah pulih daripada kecederaan panjang.
Babak kedua bersambung, Selangor tampak lebih yakin untuk menguasai permainan.
Rembatan Hardi berjaya diselamatkan Syed Adney manakala percubaan Safiq hasil hantaran Amri disepak tinggi kapten skuad kebangsaan itu.
Namun pada minir ke-65, gol kedua Selangor menjelma juga hasil rembatan Amri selepas menyambut baik lambungan Safiq dari tengah.
Empat minit kemudian, jurulatih Selangor memasukkan Fazilidin Khalid menggantikan Bunyamin bagi memberi tenaga baru pada jentera tengah.
Pada minit ke-77, Selangor melakukan pertukaran terakhir dengan memasukkan pemain sayap lincah, Fitri Shazwan Raduwan menggantikan Amirulhadi.
Kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat ditiup pengadil.
Selangor selepas ini akan bertemu Kelantan di Stadium Sultan Muhamed IV, Kota Bharu pada Selasa ini.
SABAH: 25. Syed Adney Syed Hussein, 2. Mafry Balang, 4. Hariri Safii, 5. Reithudin Emran (c), 8. Zuraidey Jumai (20. Zainizam Marjan), 11. Alto Linus, 15. Rosdin Wasli (7. Sumardi Hajalan), 17. Shahrul Azhar Ture (10. Farid Ideris), 23. Stanley Bernard Samuel, 26. Leopold Alfonso Otong, 27. Sabri Sahar.
SELANGOR: 21. Saiful Amar Sudar, 3. Razman Roslan, 5. Khairul Anuar Baharum (15. P. Gunalan), 6. Nasriq Baharom, 4. Asraruddin Putra Omar, 20. Amirulhadi Zainal (24. Fitri Shazwan Raduwan), 12. Bunyamin Umar (25. Fazilidin Khalid), 18. Azidan Sarudin, 14. Hardi Jaafar, 8. Safiq Rahim, 17. Amri Yahyah (c).
PENGADIL: Samsudin Ibrahim.


