Liga Super: Selangor 0 T-Team 2
PENGUASAAN Selangor di tangga teratas Liga Super hanya bertahan satu perlawanan setelah mereka tewas 0-2 kepada T-Team di Stadium Shah Alam malam tadi.
Kemenangan besar Kelantan menewaskan Felda United 6-0 membolehkan mereka kembali merampas takhta liga.
Mujur pasukan di tangga ketiga, Perak mengalami kekalahan pertama musim ini apabila tewas 1-2 di tangan Sabah, sekali gus membolehkan Selangor kembali menghuni tangga kedua.
Kelantan dan Selangor terikat 20 mata manakala Perak dengan 19 mata selepas 10 perlawanan.
Pada aksi di Stadium Shah Alam malam tadi, Selangor memiliki deretan peluang terbaik sepanjang separuh masa pertama termasuk kegagalan menyempurnakan sepakan penalti.
Pada minit ke-21, gerakan solo Safiq Rahim dari tengah padang disudahkan dengan satu sepakan tepat ke pintu gol. Namun penjaga gol T-Team, Syamsuri Mustafa sempat menguis bola keluar.
Selangor dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-27 setelah kapten, Amri Yahyah dijatuhkan Nor Fazly Alias.
Namun sepakan penalti yang diambil Razman Roslan seminit kemudian berjaya diselamatkan Syamsuri yang tepat merebahkan badan ke sebelah kanan.
Pada minit ke-38, Selangor sekali lagi memperolehi peluang terbaik apabila hantaran Amri dari sebelah kiri disepak Rudie Ramli tetapi melantun tepat ke arah palang gol.
Babak kedua bermula, Selangor terus berusaha mencari gol dan pada minit ke-55, rembatan Amirulhadi Zainal dari dalam kotak penalti berjaya diselamatkan Syamsuri yang ternyata beraksi cemerlang.
Sebaliknya T-Team pula berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-58 menerusi tandukan Nor Farhan Muhammad hasil sepakan percuma Zairo Anuar Zailani dari sebelah kanan.
Sisa perjuangan Selangor berakhir apabila Indra Putra Mahayuddin menyudahkan satu serangan balas menerusi rembatan yang gagal diselamatkan Iqbal Suhaimi pada minit ke-83.
Selangor selepas ini akan bertandang ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras untuk bertemu Felda United pada Selasa ini.
SELANGOR: 22. Iqbal Suhaimi, 3. Razman Roslan, 5. Khairul Anuar Baharum, 16. Yosri Derma Raju, 15. P. Gunalan, 20. Amirulhadi Zainal, 8. Safiq Rahim, 18. Azidan Sarudin, 14. Hardi Jaafar (4. Asraruddin Putra Omar), 9. Rudie Ramli (23. Fadzli Saari), 17. Amri Yahyah (c).
T-TEAM: 22. Syamsuri Mustafa, 4. Subri Sulong (8. Shaiful Azrin Shamsudin), 2. Azizi Mat Rose, 3. Nor Fazly Alias, 19. Rosdi Talib (c), 10. Nor Farhan Muhammad, 7. Zairo Anuar Zailani, 15. Tengku Hasbullah Raja Hassan, 21. Azrul Hazran Amiludin Baki (20. Shamsul Kamal Mohamad), 13. Indra Putra Mahayuddin, 23. Haris Safwan Kamal (14. Khairul Izwan Khalid).
PENGADIL: Sani Tari (Sabah).
Lagi gambar dari perlawanan Selangor lawan T-Team>> KLIK DI SINI


