Liga Super: Selangor 1 Sabah 0

on .

SELANGOR terus mengungguli tangga teratas Liga Super setelah berjaya menewaskan Sabah 1-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Gol tunggal menerusi Azidan Sarudin sudah cukup untuk memberikan Selangor tiga mata penuh.

Selesai 13 perlawanan pusingan pertama, Selangor kini mengumpul 29 mata, berkelebihan empat mata berbanding pencabar terdekat, Terengganu.

Babak pertama dikuasai sepenuhnya oleh Selangor tetapi beberapa peluang terbaik menerusi Fadzli Saari, Hardi Jaafar dan Amirulhadi Zainal gagal disempurnakan dengan baik.

Pada minit ke-37, jurulatih Selangor, K. Devan terpaksa mengeluarkan Fadzli yang cedera dan memasukkan Rudie Ramli bagi bergandingan dengan Amri Yahyah pada baki perlawanan.

Dua minit selepas itu, Azidan hampir memecah kebuntuan tetapi sepakan leretnya dari luar kotak penalti sempat ditepis keluar penjaga gol Sabah, Syed Adney Syed Hussein.

Sabah pula memasukkan Stanley Bernard Samuel pada minit ke-43 untuk menggantikan penyerangnya, Razlan Oto yang turut mengalami kecederaan.

Tamat separuh masa pertama, kedudukan terikat tanpa jaringan.

Selepas 15 minit babak kedua bersambung, Selangor cuba memperkuatkan jentera serangan dengan memasukkan Fitri Shazwan Raduwan menggantikan Hardi di posisi sayap kiri.

Namun pada minit ke-61, gawang Selangor yang dikawal Saiful Amar Sudar hampir dibolosi Sabah tetapi percubaan Leopold Alfonso Otong sempat dihadang kemas oleh Nasriq Baharom di depan pintu gol.

Akhirnya gol yang dicari Selangor berjaya diperolehi pada minit ke-71 menerusi sepakan percuma pendek Safiq Rahim yang terus dirembat kencang oleh Azidan ke pintu gol Sabah.

Sepakan Azidan itu sempat didakap Syed Adney tetapi bola bergolek perlahan ke dalam gawang Sabah sebelum dikuis keluar penjaga gol Sabah itu tetapi ia sudah pun melepasi garisan gol.

Pada minit ke-77, Selangor hampir menambah jaringan tetapi rembatan Amirulhadi ditanduk keluar Rosdin Wasli di atas garisan gol dan Rudie yang cuba membuat rembatan susulan gagal melakukannya.

Kedudukan 1-0 itu terus kekal sehingga wisel penamat.

Selangor akan membuka tirai saingan pusingan kedua bertemu Sabah sekali lagi, kali ini di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Sabtu ini.

SELANGOR: 21. Saiful Amar Sudar, 3. Razman Roslan, 5. Khairul Anuar Baharum, 6. Nasriq Baharom, 15. P. Gunalan, 20. Amirulhadi Zainal, 8. Safiq Rahim (12. Bunyamin Umar), 18. Azidan Sarudin, 14. Hardi Jaafar (24. Fitri Shazwan Raduwan), 17. Amri Yahyah (c), 23. Fadzli Saari (9. Rudie Ramli).

SABAH: 25. Syed Adney Syed Hussein, 2. Mafry Balang (c), 4. Hariri Safii, 7. Sumardi Hajalan (10. Farid Ideris), 9. Razlan Oto (23. Stanley Bernard Samuel), 11. Alto Linus, 12. Julamri Muhammad, 15. Rosdin Wasli, 17. Shahrul Azhar Ture, 26. Leopold Alfonso Otong (8. Zuraidey Jumai), 27. Sabri Sahar.

PENGADIL: Azman Jamaludin.

Lagi gambar dari perlawanan Selangor lawan Sabah>> KLIK DI SINI

logo mbi  logo kappa  logo arena