Liga Super: Selangor 2 Felda United 1
KEJUARAAN Liga Super musim ini terpaksa ditentukan pada perlawanan terakhir yang akan berlangsung pada 6 Julai depan.
Ini kerana, ketiga-tiga pasukan teratas telah mencatat kemenangan pada aksi ke-25 malam tadi.
Di Stadium Shah Alam, Selangor berjaya menewaskan Felda United 2-1 manakala pendahulu liga, Kelantan turut menang 1-0 ke atas Perak di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.
Terengganu yang baru dinobatkan sebagai juara Piala FA pada Sabtu lalu pula mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Berbaki satu perlawanan, Kelantan kekal di tangga teratas liga dengan 53 mata diikuti rapat Selangor dengan 51 mata dan Terengganu 50 mata.
Pada aksi di Shah Alam malam tadi, Selangor mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan pemain bek kiri, P. Gunalan.
Gol tersebut terhasil pada minit ke-23 apabila Gunalan secara tiba-tiba melepaskan rembatan kaki kiri cukup kencang dari jarak 35 meter yang gagal diselamatkan penjaga gol Felda United, Hamsani Ahmad.
Namun Felda United berjaya juga menyamakan kedudukan pada minit ke-68 apabila hantaran lintang Juzaili Samion ditanduk tipis Liew Kit Kong sebelum Azrul Ahmad melepaskan rembatan kencang menewaskan Iqbal Suhaimi.
Pada minit ke-74, Selangor dianugerahkan sepakan penalti selepas Safiq Rahim dijatuhkan Juzaili betul-betul di hadapan pintu gol Felda dan Safiq sendiri tenang menyudahkan sepakan tersebut untuk gol kedua Selangor.
Kedudukan 2-1 itu kekal sehingga wisel penamat untuk memberikan Selangor tiga mata penuh.
Pada aksi terakhir 6 Julai depan, Selangor perlu menewaskan Perak di Ipoh sambil mengharapkan Kelantan tewas kepada Sabah di Kota Kinabalu untuk bergelar juara.
Namun Terengganu turut berpeluang muncul juara sekiranya Selangor dan Kelantan masing-masing tewas dan mereka pula menang besar ke atas Felda United di Cheras.
SELANGOR: 22. Iqbal Suhaimi, 19. D. Surendran, 4. Asraruddin Putra Omar, 5. Khairul Anuar Baharum, 15. P. Gunalan, 20. Amirulhadi Zainal, 8. Safiq Rahim, 18. Azidan Sarudin (25. Fazilidin Khalid), 24. Fitri Shazwan Raduwan, 9. Rudie Ramli (23. Fadzli Saari), 17. Amri Yahyah (c) (12. Bunyamin Umar).
FELDA UNITED: 21. Hamsani Ahmad, 18. Juzaili Samion, 13. Azrul Azmi, 22. Kaironnisam Sahabudin (c), 3. Ramesh Lai Ban Huat, 15. Zamri Chin (12. Amir Shahreen Mubin), 14. Mohd. Lot Abu Hassan (19. K. Rajan), 25. Azi Shahril Azmi, 7. Azrul Ahmad, 5. Liew Kit Kong, 10. Nizaruddin Yusof (16. Chow Chee Weng).
Pengadil: Shokri Nor
Lagi gambar dari perlawanan Selangor lawan Felda United>> KLIK DI SINI


