Liga Super: Selangor 2 Negeri Sembilan 0
Selangor menghidupkan kembali peluang mempertahankan kejuaraan Liga Super setelah mencatat kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam malam tadi.
Keputusan ini yang turut dibantu oleh kemenangan 1-0 Kedah ke atas pendahulu liga sebelum ini Terengganu. Selangor bagaimanapun kekal di tangga ketiga, dua mata di belakang Terengganu dan pendahulu baru Kelantan yang turut mencatat kemenangan 1-0 ke atas Pahang dengan aksi Liga Super berbaki 3 perlawanan.
Aksi babak pertama berlangsung hambar ketika kedua-dua pasukan gagal mencipta peluang menarik dan berakhir tanpa jaringan.
Bagaimanapun Selangor menggandakan asakan di babak kedua bagi merobek kubu pasukan pelawat. Hasilnya Fadzli Saari membuka jaringan pada minit ke-49. Gol berpunca dari larian pantas Amirulhadi Zainal di bahagian sayap kanan sebelum melorongkan bola buat Fadzli menolak masuk menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Harun.
Usaha Negeri Sembilan untuk mencari gol penyamaan sebaliknya membuka ruang buat Selangor menambah jaringan menerusi serangan-serangan balas pantas namun digagalkan penyudah yang kurang berkesan.
Namun, di penghujung perlawanan hantaran cantik pemain gantian Fazilidin Khalid disambut Rudie Ramli yang bijak memperdayakan tiga pemain pertahanan pasukan pelawat sebelum melepaskan ledakan melepasi Farizal untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Selangor bakal berhadapan Perlis pada 6 Jun 2011 dalam aksi Liga Super seterusnya di Stadium Shah Alam.
SELANGOR: Mohd Iqbal Suhimi (PG), Mohd Nasriq Baharom, Mohd Bunyamin Umar, Mohd Asraruddin Putra Omar, P Gunalan, Azidan Sarudin, Safiq Rahim, Rudie Ramli, Amirulhadi Zainal, Mohd Amri Yahyah, Mohd Fadzli Saari
Pemain Simpanan: Saiful Amar Sudar (PG), Khairul Anuar Baharum, Mohd Hardi Jaafar(in), K Depan Sakwati, D Surendran, Fitri Shazwan Raduwan(in), Mohd Fazilidin Khalid(in)
NEGERI SEMBILAN: Farizal Harun (PG), Qhairul Anwar Roslani, Irwan Fadhli Idrus, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak, Abdul Halim Zainal, Mohd Khairul Ridzwan Othman, S Kunalan, Shahruain Abu Samah, Muhammad Shukor Adan, Idris Karim, Mohd Faqri Azwan Ghazali
Pemain Simpanan: Farizal Marlias (PG), G.Mahathevan (in), Abd Rahman Abd Ghani, Hasmawi Hasan (in), Muszaki Abu Bakar, Mohd Firdaus Azizul (in), Norkahiri Abu Rahman
Lagi gambar dari perlawanan Selangor lawan Negeri Sembilan>> KLIK DI SINI


