Liga Super: Selangor 3 Johor FC 2
SELANGOR terus menghimpit Kelantan di tangga teratas apabila berjaya menewaskan Johor FC 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.
Selepas 18 perlawanan, Selangor dan Kelantan masih terikat 39 mata tetapi pasukan dari Pantai Timur itu kekal sebagai pendahulu berdasarkan kelebihan perbezaan gol.
Selangor di tangga kedua manakala Terengganu di tangga ketiga dengan 38 mata.
Turun tanpa Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal yang diletakkan di bangku simpanan, Selangor ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama.
Gol pertama Johor FC terhasil pada minit ke-22 menerusi rembatan kencang Shahrizal Saad dari luar kotak penalti yang terkena palang dan melantun masuk menewaskan Saiful Amar Sudar.
Pada minit ke-30, Hardi Jaafar melakukan percubaan dari luar kotak penalti tetapi dapat dibaca dengan baik penjaga gol Johor FC, Anis Faron Arsidi.
Lapan minit kemudian, percubaan P. Gunalan hasil keadaan kelam kabut dalam kotak penalti berjaya dihadang keluar pertahanan Johor FC.
Bagi menghidupkan jentera tengah, jurulatih Selangor, K. Devan memasukkan Safiq bagi menggantikan Fazilidin Khalid sebaik babak kedua bermula.
Johor FC pula memasukkan Hamzani Omar menggantikan Irfan Ghani.
Pada minit ke-47, Rudie Ramli berjaya menanduk masuk sepakan percuma Safiq dari sebelah kiri tetapi tidak dikira pengadil kerana Rudie dikatakan berkedudukan ofsaid.
Rudie sekali lagi terlepas peluang apabila sedikit lewat untuk menolak masuk hantaran cantik Gunalan dari sebelah kiri pada minit ke-53.
Terdesak mencari gol, Devan melakukan pertukaran kedua dengan memasukkan Amirulhadi menggantikan Fitri Shazwan Raduwan pada minit ke-59.
Hasilnya pada minit ke-64, Selangor berjaya memperolehi gol penyamaan apabila Rudie mudah menolak masuk bola muntah Anis Faron hasil percubaan awal Amri Yahyah menerusi hantaran Amirulhadi dari sebelah kanan.
Amirulhadi sekali lagi menjadi pencetus gol kedua Selangor pada minit ke-69 apabila hantarannya dari sebelah kanan dirembat kencang Amri menewaskan Anis Faron.
Tersentak dengan jaringan itu, Johor FC melakukan pertukaran kedua dengan memasukkan Ezaidy Khadar menggantikan Azizan Baba seminit kemudian.
Pada minit ke-72, Selangor pula melakukan pertukaran terakhir memasukkan Bunyamin Umar menggantikan Yosri Derma Raju.
Selangor terus gah dengan memperolehi gol ketiga pada minit ke-77 hasil rembatan kencang Azidan Sarudin dari luar kotak penalti yang menggegar palang sebelum masuk menewaskan Anis Faron.
Namun dua minit kemudian, Johor FC merapatkan jurang dengan gol kedua menerusi sepakan percuma mengelirukan Khairul Ismail.
Pada minit ke-81, jurulatih Johor FC, Azuan Zain mengeluarkan Anis Faron dan memasukkan penjaga gol gantian, Suhardi Alby tetapi
kedudukan 3-2 kekal hingga wisel penamat.
Selangor selepas ini akan bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Isnin ini.SELANGOR: 21. Saiful Amar Sudar, 4. Asraruddin Putra Omar, 6. Nasriq Baharom, 16. Yosri Derma Raju (12. Bunyamin Umar), 15. P. Gunalan, 24. Fitri Shazwan Raduwan (20. Amirulhadi Zainal), 18. Azidan Sarudin, 25. Fazilidin Khalid (8. Safiq Rahim), 14. Hardi Jaafar, 9. Rudie Ramli, 17. Amri Yahyah (c).
JOHOR FC: 22. Anis Faron Arsidi (c) (1. Suhardi Alby), 17. Rahman Zabul, 2. Mat Saiful Mohamad, 6. Izuan Jarudin, 12. Irfan Ghani (3. Hamzani Omar), 19. Rashid Aya, 8. Azizan Baba (7. Ezaidy Khadar), 10. Khairul Ismail, 11. Khairi Kiman, 18. Shahrizal Saad, 30. Fandi Ahmad.
PENGADIL: Sabri Md. Ladzim.
Lagi gambar dari perlawanan Selangor lawan Johor FC>> KLIK DI SINI


