Liga Super: Selangor 7 Perlis 1
Selangor membuktikan kesungguhan untuk terus mencabar kejuaraan Liga Super apabila membelasah pasukan tercorot, Perlis 7-1 di Stadium Shah Alam malam tadi.
Dengan kemenangan ini Selangor merampas kedudukan kedua Liga selepas Terengganu tewas 0-3 kepada Kelantan dalam aksi top-of-the-table clash di Kuala Terengganu. Selangor kini mengumpul 50 mata, dua mata di belakang Kelantan dengan aksi Liga berbaki hanya dua perlawanan.
Tanpa kehadiran Hardi Jaafar yang menerima penggantungan dan Safiq Rahim yang direhatkan setelah kembali dari tugasan bersama pasukan kebangsaan Jumaat lalu langsung tidak menjejaskan Selangor apabila garang mendahului 5-0 pada babak pertama.
Selangor membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 menerusi tandukan Asraruddin Putra Omar.
Rudie Ramli menjadikan kedudukan 2-0 apabila bijak menyambar peluang hasil keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol Perlis pada minit ke-28.
Asraruddin kemudiannya melengkapkan hattriknya apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh 3 minit masing-masing pada minit ke-33 dan 35.
Asraruddin membuktikan bahawa malam ini miliknya apabila menjaringkan gol keempat peribadinya dan gol kelima Selangor tiga minit sebelum aksi babak pertama tamat.
Jurulatih Selangor, K Devan bagaimanapun terpaksa membuat pertukaran untuk aksi babak kedua dengan memasukkan Safiq menggantikan Fadzli Saari yang dilihat mengalami kecederaan.
Tuan rumah seakan berpuas hati dengan kelebihan jaringan yang besar apabila mengendurkan asakan dalam aksi awal babak kedua.
Ini membolehkan Perlis merapatkan jurang menerusi Azmizi Azmi pada minit ke-75.
Namun tidak sampai seminit, Fitri Syazwan Raduan memastikan Selangor terus selesa apabila menanduk masuk menewaskan penjaga gol pelawat Amini Ahmad Tabarani untuk kedudukan 6-1.
Selang dua minit kemudian, Mohd. Amirul Hadi Zainal melengkapkan malam gemilang Selangor menerusi sepakan leret cantik menewaskan Amini.
Kedudukan 7-1 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil.
Selangor akan menentang Felda United di Stadium Shah Alam pada 14 Jun hadapan sebelum menutup aksi saingan Liga dengan bertandang ke Stadium Perak di Ipoh.
SELANGOR: Mohd Iqbal Suhimi (PG), D Surendran, Mohd Nasriq Baharom, Khairul Anuar Baharum, P Gunalan, Mohd Amirulhadi Zainal, Azidan Sarudin, Mohd Amri Yahyah, Asraruddin Putra Omar, Rudie Ramli, Mohd Fadzli Saari
Simpanan: Saiful Amar Sudar (PG), S Sritharan, Fazilidin Khalid, Fitri Shazwan Raduwan, Safiq Rahim, Bunyamin Umar, Yosri Derma Raju
PERLIS: Amini Ahmad Tabarani (PG), Sanjos Sundawat, Syed Mohd Abdul Ghafar, Phul Sakh Lom, Mohd Rozaidi Abdul Rahim, Mohd Faiz Subri, Azmizi Azmi, Mohd Hazwan Zainun, Muhammad Alif Aswat Baharin, Muhammad Munawar Shavukah Ali, Mohd Rizal Ghazali
Simpanan: Reza Iqrimal Redzawan (PG), Wan Khairul Faiz Kamaruddin, Mohd Hafiszuan Salehuddin, Mohd Fadly Baharum, Mohd Sany Mat Isa, Nik Sahrul Anizan Mohamad
Lagi gambar dari perlawanan Selangor lawan NPerlis>> KLIK DI SINI


