Misi 33 dilancar
SKUAD Selangor menerima suntikan semangat menjelang sepak mula saingan Piala Malaysia 2011 pada Selasa, 6 September apabila Misi 33 dilancar secara rasmi di Padang SUK, Shah Alam pada petang Ahad.
Majlis Misi 33 itu yang bermaksud memburu kejuaraan Piala Malaysia buat kali ke-33 untuk saingan musim ini dimeriahkan dengan kehadiran pihak pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), pemain serta para penyokong Red Giants.
Bermula dengan bacaan ikrar oleh para pemain Selangor bersama-sama tiga kumpulan utama penyokong Selangor iaitu Selangor Soccer Fans Club (SSFC), SelangorFC.com (SFC) dan Ultras Selangor (Ultrasel), ia disusuli dengan penyerahan jersi khas.
Jersi khas itu yang dikeluarkan penaja jersi skuad Selangor, Kappa telah diserahkan Pengarah Urusan Kappa Malaysia, Mohamed Afiq Tam kepada Timbalan Presiden FAS, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.
Ia kemudiannya diagihkan kepada semua pemain Selangor dan wakil kumpulan-kumpulan penyokong tersebut oleh Mokhtar serta beberapa pemimpin tertinggi FAS yang hadir iaitu dua naib presidennya, Datuk Subahan Kamal dan Datuk Adnan Ikhsan.
Turut hadir Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Bendahari FAS, Datuk S. Sivasundaram serta Ahli-Ahli Majlis FAS yang lain.
Jersi khas yang menggunakan rekabentuk selempang pada bahagian depannya dengan disertakan logo FAS di sebelah kiri dan lakaran trofi serta tulisan Piala Malaysia 2011 di sebelah kanan turut menampilkan tulisan MISI 33 di bahagian belakangnya.
Ia bakal digunakan skuad Selangor sewaktu sesi pemanas badan sebelum setiap perlawanan Piala Malaysia ini bagi membangkitkan semangat para pemain dan penyokong.
Skuad Selangor kendalian K Devan akan memulakan cabaran bagi saingan Kumpulan D dengan bertemu T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Selasa malam.
Perlawanan itu turut akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Arena di saluran 801.


