MP Muar bakal uji Selangor
Selangor akan turun beraksi menentang kelab Liga Perdana, Majlis Perbandaran Muar (MP Muar) pada perlawanan pemanas badan pra-musim di Stadium Shah Alam, malam esok (Selasa, 30 November 2010, 8.45 malam).
Perlawanan yang dijadualkan bermula pada pukul 8 malam itu adalah merupakan perlawanan ketiga skuad Liga Super Selangor dalam siri persiapan menghadapi musim baru 2011.
Dua perlawanan sebelum ini menyaksikan Selangor mengikat skuad Malaysia yang akan beraksi di Piala Suzuki 2-2 sebelum menewaskan kelab pilihan Jepun, Matsushita Corp FC 2-1 pagi tadi.
Tanpa Razman Roslan, Asraruddin Putra Omar, Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal, Amri Yahyah dan Safee Sali yang menyertai skuad kebangsaan, jurulatih K. Devan berpeluang mencuba gandingan pemain-pemain yang jarang beraksi dalam kesebelasan utama di samping mencuba pemain yang baru menyertai pasukan.
Tidak banyak yang diketahui mengenai lawan, MP Muar yang bakal beraksi dalam musim kedua mereka di dalam Liga Perdana 2011. Musim 2010 lalu menyaksikan pasukan dari Johor itu membariskan beberapa pemain berpengalaman seperti Rosli Azizan, Zool Ihsan Yunus dan bekas penjaga gol Selangor, Zainurin Abdul Kadir namun hanya mampu menduduki tangga ke-10 Liga Perdana sambil mencatat beberapa keputusan kurang memberangsangkan termasuk dibelasah 10-0 oleh Felda United.


