MyTeam 1 Selangor 4

on .

SELANGOR semakin hampir untuk menjulang kejuaraan Liga Super buat kali pertama setelah mereka berjaya menewaskan UPB-MyTeam 4-1 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Berbaki tiga lagi perlawanan, Selangor kekal di tangga teratas dengan 54 mata tetapi hanya dua mata mengatasi Perlis di tangga kedua.

Pasukan dari utara itu turut mencatat tiga mata penuh malam tadi dengan menewaskan Johor FC 1-0 di Kangar.

Pada aksi di tempat lawan malam tadi, Selangor berjaya memperolehi gol pertama mereka pada minit ke-32 menerusi sepakan lencong kaki kiri daripada Hardi Jaafar yang gagal diselamatkan penjaga gol UPB-MyTeam, Faizal Rashid.

Ia merupakan gol pertama yang berjaya dijaringkan Hardi pada musim ini.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga waktu rehat.

Bersambung babak kedua, Selangor terus bersemangat untuk menambah jaringan dan hasilnya pada minit ke-51, Safee Sali berjaya meledak gol kedua Selangor menerusi rembatan dari sebelah kanan di dalam kotak penalti UPB-MyTeam.

Jaringan itu berjaya menamatkan kemarau gol yang dialami Safee sejak kali terakhir dia melakukannya ketika Selangor menewaskan Pulau Pinang 1-0 di tempat lawan pada 19 Mei lalu.

Ketinggalan 0-2, UPB-MyTeam masih belum mengalah dan berjaya memperolehi gol pertama pada minit ke-67 setelah rembatan kencang kapten, Khaironisam Sahabudin dari luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Nasril Nourdin.

Namun ia tidak bertahan lama apabila C. Premnath kembali meletakkan Selangor berkedudukan selesa setelah menolak masuk bola percubaan Safee untuk gol ketiga Selangor pada minit ke-70.

Empat minit kemudian, Premnath meledak gol kedua peribadinya dan gol keempat Selangor setelah berjaya menyudahkan percubaan awal Safee untuk memastikan tiga mata penuh milik Selangor.

Selasa ini, Selangor akan bertemu Kuala Muda Naza di Stadium Shah Alam sebelum bertemu PDRM di Selayang (21 Julai) dan Pahang di Shah Alam (25 Julai).

Perlis pula akan bertandang ke Ipoh untuk bertemu Perak Selasa ini sebelum mereka bertemu KL Plus di Cheras dan PDRM di Kangar.

SELANGOR: Nasril Nourdin, D.Surendran (Razman Roslan), Khairul Anuar Baharom, Nasriq Baharom (Asraruddin Putra Omar), P.Gunalan, Amirulhadi Zainal, Hardi Jaafar, Amri Yahyah (c), C.Premnath, R.Surendren (Rudie Ramli), Safee Sali.

Selangor

logo mbi  logo kappa  logo arena