N Sembilan 1 Selangor 1
Turutan 6 kemenangan berturut-turut Selangor tersekat di tangan Negeri Sembilan dalam perlawanan Liga Super yang berkesudahan 1-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi. Keputusan seri ini turut membolehkan Perlis memintas Selangor sebagai peneraju kedudukan liga dengan kelebihan 1 mata hasil kemenangan ke atas Pulau Pinang 3-0. Namun Selangor berpeluang merampas kembali takhta liga apabila turun menentang Johor FC di Stadium Shah Alam Selasa ini.
Selangor memulakan aksi malam tadi dengan agak perlahan membolehkan tuan rumah Negeri Sembilan menguasai kebanyakan bola di bahagian tengah padang namun tiada percubaan benar-benar bahaya dilakukan oleh kedua-dua pasukan. Separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.
Sebaik sahaja separuh masa kedua bermula, Negeri Sembilan tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi Shahurain Abu Samah pada minit ke-46. Gol berpunca dari hantaran Tengku Qayyum Ubaidillah yang ditanduk Shukor Adan ke arah gol yang berjaya dihalang penjaga gol Hamsani Ahmad, namun bola muntah itu pantas disambar oleh Shahurain yang mudah menolak masuk.
Gol tersebut menyentak Selangor yang mula menyegerakan asakan mencari gol penyamaan namun masih buntu memaksa jurulatih K. Devan memasukkan dua pemain, Amirulhadi Zainal dan Fitri Shazwan Raduwan bagi menggantikan R Surendren dan Rudie Ramli.
Pasukan pelawat bagaimanpun terpaksa menunggu sehingga minit ke-63 sebelum berjaya menembusi gawang Negeri Sembilan. Safee Sali yang menerima bola di hadapan kotak penalti Negeri Sembilan melorongkan bola leret ke bahagian sebelah kanan mencari ketua pasukan, Amri Yahyah. Walaupun berada di sudut sukar, Amri melepaskan rembatan deras yang menewaskan penjaga gol Sani Anuar Kamsani.
Kedua-dua pasukan gagal mencari gol tambahan seterusnya terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1.
SELANGOR: Hamsani Ahmad, Mohd Razman Roslan (D.Surendran), Khairul Anuar Baharom, Mohd Nasriq Baharom, P.Gunalan, R.Surendren (Amirulhadi Zainal), Hardi Jaafar, Mohd Amri Yahyah, C.Premnath, Rudie Ramli (Fitri Shazwan Raduwan), Mohd Safee Sali.



