Negeri Sembilan 0 Selangor 1

on .

SELANGOR gagal melangkah ke final Piala FA 2010 biarpun mereka mencatat kemenangan 1-0 ke atas Negeri Sembilan pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Kedudukan agregat terikat 2-2 tetapi Negeri Sembilan layak ke final berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan setelah mereka menang 2-1 di Stadium Shah Alam pada aksi pertama Selasa lalu.

Dengan keputusan itu, juara baru bakal ditentukan pada final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini, 10 April dengan Negeri Sembilan akan bertemu Kedah yang menyingkirkan Terengganu pada satu lagi separuh akhir.

Musim lalu, Selangor muncul juara Piala FA setelah menewaskan Kelantan menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedudukan terikat 1-1 selepas 120 minit perlawanan.

Pada perlawanan malam tadi, setelah kedudukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama Selangor akhirnya berjaya memperolehi gol pertama mereka pada minit ke-56.

Sepakan percuma yang diambil Hardi Jaafar telah tertanduk masuk ke gawang sendiri oleh pemain pertahanan Negeri Sembilan, Alif Samsudin.

Seminit kemudian, Selangor sepatutnya dihadiahkan satu sepakan penalti.

Lambungan Amri Yahyah dari sebelah kiri telah diselamatkan pemain pertahanan Negeri Sembilan, Shukor Adan menggunakan tangan sebelum sempat disambar Safee Sali untuk melakukan tandukan.

Namun pengadil, Ibrahim Mohd. dari Melaka telah membuat satu keputusan kontroversi apabila meneruskan perlawanan biarpun ulang tayang jelas menunjukkan Shukor menahan bola menggunakan tangannya.

Ketika Selangor rancak menyerang untuk memburu gol kedua, malang telah menimpa mereka apabila Amri terpaksa dikeluarkan pada minit ke-67 akibat kecederaan.

Pada penghujung perlawanan, Selangor terpaksa beraksi 10 pemain setelah pemain pertahanan, Razman Roslan dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah oleh pengadil setelah mengasari S. Kunanlan.

Selangor bakal mengalihkan tumpuan kepada saingan Piala AFC 2010 apabila mereka akan melayan kunjungan kelab Maldives, Victory SC di Stadium Shah Alam pada Selasa ini.

NEGERI SEMBILAN: 21.Sani Anuar Kamsani, 5.Alif Samsudin, 2.Rahman Zabul, 12.Shukor Adan, 15.Ching Hong Aik, 6.S.Kunanlan, 20.Abdul Halim Zainal, 24.Syukri Ismail (28.Asyraf Al Japri) (14.K.Thanaraj), 9.Shahurain Abu Samah, 10.Shafik Abd. Rahman (19.Firdaus Azizul), 8.Zaquan Adha Radzak (c).

SELANGOR: 22.Iqbal Suhaimi, 3.Razman Roslan, 5.Khairul Anuar Baharom, 6.Nasriq Baharom, 15.P.Gunalan, 20.Amirulhadi Zainal (19.D.Surendran), 12.Bunyamin Umar, 14.Hardi Jaafar, 8.Safiq Rahim (24.Fitri Shazwan Raduwan), 17.Amri Yahyah (c) (18.Liew Kit Kong), 10.Safee Sali.

PENGADIL: Ibrahim Mohd. (Melaka)

logo mbi  logo kappa  logo arena