Pahang 2 Selangor 3

on .

SELANGOR berjaya mencuri tiga mata penting dari gelanggang lawan setelah menumbangkan Pahang 3-2 di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Dua jaringan Amri Yahyah serta satu gol P. Gunalan membolehkan Selangor kini selesa berkelebihan dengan lapan mata di tangga teratas Liga Super.

Ini kerana pesaing terdekat, Kelantan sekadar mengutip satu mata setelah seri tanpa jaringan dengan Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Pada aksi malam tadi, Selangor memperolehi gol pertama pada minit ke-23 menerusi satu serangan balas bermula daripada D. Surendran yang merampas bola dari pemain lawan.

Surendran menghantar bola ke penjuru kanan ke arah Amirulhadi Zainal yang kemudiannya melakukan hantaran kemas ke tengah sebelum disudahkan dengan baik oleh Amri.

Pahang bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-40 setelah rembatan kaki kiri Fauzi Rozlan dari luar kotak penalti terbias pertahanan Selangor, Khairul Anuar Baharom sekali gus mengelirukan penjaga gol, Hamsani Ahmad.

Bersambung separuh masa kedua, Selangor nyaris mendahului tuan rumah pada minit ke-58 tetapi percubaan Amirulhadi sekadar singgah ke tiang gol Pahang.

Selangor akhirnya berjaya mematikan semangat pasukan tuan rumah yang dibimbing Dollah Salleh menerusi dua jaringan dalam tempoh dua minit.

Pada minit ke-78, Amri melakukan satu rembatan kencang dari jarak 40 meter yang gagal diselamatkan penjaga gol Pahang, Wan Azraie Wan Teh untuk gol kedua Selangor.

Seminit kemudian, gol ketiga Selangor pula menyusul setelah Gunalan menanduk cantik bola sepakan sudut Safiq Rahim.

Selesa mendahului dua gol, pemain-pemain Selangor mulai leka dan akibatnya pada masa kecederaan Pahang memperolehi gol kedua menerusi pemain gantian, Famirul Asraf Sayuti untuk keputusan muktamad 3-2.

Aksi bertemu Pahang itu merupakan perlawanan kedua dilalui Selangor tanpa K. Devan serta tiga tonggak utama, Safee Sali, Hardi Jaafar dan Razman Roslan yang digantung empat hingga enam perlawanan.

Selangor akan bertemu Perlis di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini diikuti aksi bertemu Johor di Larkin pada Selasa depan.

PAHANG: 22.Wan Azraie Wan Teh, 4.Fadzirul Zakaria (15.Yosri Dermaraju), 3.Saiful Nizam Miswan (10.Famirul Asraf Sayuti), 5.Nik Zul Aziz Nawawi, 21.Hasmizan Kamarodin, 6.Hazri Rozali, 2.Jalalludin Jaafar (c), 20.Shahrizan Salleh, 19.Fauzi Rozlan, 12.Azamuddin Akil (9.R.Kartigesu), 13.Fazli Baharudin.

SELANGOR: 21.Hamsani Ahmad, 19.D.Surendran, 5.Khairul Anuar Baharom, 6.Nasriq Baharom, 15.P.Gunalan, 20.Amirulhadi Zainal, 8.Safiq Rahim (25.Fazilidin Khalid), 12.Bunyamin Umar, 7.Farderin Kadir (4.Asraruddin Putra Omar), 17.Amri Yahyah (c), 18.Liew Kit Kong (9.Rudie Ramli).

PENGADIL: Syawal Sharif

Selangor

logo mbi  logo kappa  logo arena