Pemain perlu bangkit

on .

MENYEDARI saingan Liga Super hanya berbaki tidak sampai sebulan, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pantas menyeru semua pemain Gergasi Merah untuk bangkit memperkemaskan skil dan kemampuan masing-masing.

"Dua perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur dan Perak selepas ini perlu menjadi pentas terakhir untuk pemain Selangor memperbaiki persembahan dan keupayaan masing-masing.

"Liga Super bakal bermula awal bulan depan dan justeru, kita tidak lagi mempunyai masa yang panjang untuk terus bersuka-ria serta berpuashati dengan apa yang kita ada. Masing-masing perlu sedar bahawa tanpa kelibat pemain import, semua pasukan adalah sama kuat dan hanya pasukan yang memiliki pemain yang komited saja berpeluang untuk muncul juara musim 2009.

"Di atas kertas, memang saya berpuas hati dengan pemain Selangor yang bakal memikul tanggungjawab untuk musim 2009 tetapi paling penting ialah aksi di atas padang kerana ia akan menentukan jatuh bangun setiap pasukan," kata Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin.

Rabu ini, skuad Selangor akan bertandang ke Stadium Cheras untuk bertemu Kuala Lumpur dan kehadiran beberapa pemain seperti Mohd Safee Sali, Amirulhadi Zainal dan Mohd Hardi Jaafar dijangka mampu menguatkan kesebelasan Gergasi Merah.

Ketiga-tiga pemain itu sebelum ini mewakili negara ke saingan Piala Suzuki dan penolong jurulatih, P Maniam amat mengharapkan semua mereka mampu menghadirkan gerun buat setiap lawan Selangor selepas ini.

Perak bakal menjadi lawan terakhir Selangor pada perlawanan persahabatan dan pertemuan dengan skuad Seladang itu akan berlangsung di Stadium Shah Alam hujung minggu ini.

logo mbi  logo kappa  logo arena