Persahabatan: Selangor 0 Olimpik Malaysia 0

on .

SELANGOR berjaya mengikat skuad B-23 negara 0-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi yang dijadikan medan ujian terakhir skuad Ong Kim Swee itu sebelum berlepas ke Manama, malam ini untuk aksi Kelayakan Olimpik 2012 bertemu Bahrain, 5 Februari ini.

Bagi jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim pula, ia digunakan untuk menguji penyerang import dari Croatia, Bosko Balaban, 34, yang tampil beraksi selama 57 minit selain medan menguji para pemain simpanan.

Aksi babak pertama berlangsung dalam keadaan hujan lebat tetapi ia beransur reda pada babak kedua.

Tanpa Safiq Rahim, Asraruddin Putra Omar dan Bunyamin Umar yang menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan serta K Gurusamy yang beraksi dengan skuad Olimpik, Selangor dihidang peluang terbaik pada minit ke-11, namun rembatan Solihin Kanasian sempat ditampan penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat.

Insiden kelam kabut di depan pintu gol itu turut menyaksikan penyerang Selangor, R Surendren terpaksa dikeluarkan kerana cedera di bahagian tangan dan Irfan memasukkan Balaban menggantikannya pada minit ke-13.

Pada minit ke-19, giliran skuad Olimpik pula menguji gawang Selangor, namun tandukan Ahmad Fakri Saarani hasil hantaran lintang Fandi Othman sekadar menggegar palang gol.

Babak kedua bermula, Kim Swee melakukan enam pertukaran manakala Irfan masih mengekalkan pemain yang sama.

Disebabkan belum cergas sepenuhnya selepas baru sehari tiba, Balaban dikeluarkan pada minit ke-70 dan Wan Hoesne Wan Hussain masuk menggantikannya.

Namun Wan Hoesne terlepas peluang di depan pintu gol terbuka selepas gagal menolak masuk hantaran Razman Roslan pada minit ke-74.

Kedudukan 0-0 itu kekal sehingga wisel penamat.

SELANGOR: Norazlan Razali (Fairul Azwan Shahrullai), Razman Roslan, Nasriq Baharom (Hasmarul Fadzir Hassan), Ramez Dayoub, Adib Aizuddin Latif, Fitri Shazwan Raduwan, Fazilidin Khalid (Famirul Asraf Sayuti), Azidan Sarudin, Solihin Kanasian (Amirulhadi Zainal), R Surendren (Bosko Balaban), Amri Yahyah (c)
SKUAD OLIMPIK MALAYSIA: Khairul Fahmi Che Mat (c) (Izham Tarmizi Roslan), Mahali Jasuli (Affize Faisal Mamat), Muslim Ahmad (Syazwan Tajuddin) (Wan Amirzafran Wan Nadris), Amer Saidin, Zubir Azmi (Nazirul Naim Che Hashim), Wan Zack Haikal Wan Nor (Azrif Nasrulhaq Badrul), K Gurusamy (Gary Steven Robbat), Ahmad Fakri Saarani (Irfan Fazail), Fandi Othman (Wan Zaharulnizam Wan Zakaria), Nazmi Faiz Mansor (Azizan Nordin), Ahmad Shakir Md Ali (Ahmad Hazwan Bakri)

logo mbi  logo kappa  logo arena