Persahabatan: Selangor 1 Bayswater 2

on .

SKUAD Liga Super Selangor tewas tipis 1-2 kepada kelab Australia, Bayswater pada aksi pertama di Dorrien Gardens pada kunjungan pramusim di Perth, Australia malam tadi.

Pada perlawanan tersebut, gol tunggal skuad bimbingan K. Devan itu terhasil menerusi tandukan pemain veteran, D. Surendran manakala dua gol Bayswater disumbang Cisco dan Anthony McStea.

Enam pemain baru Selangor bagi musim 2011 turut menyertai skuad ke Perth itu iaitu Saiful Amar Sudar (penjaga gol), Yosri Derma Raju (pertahanan), Azidan Sarudin (tengah), Fadzli Saari (penyerang), K. Depan Sakwati (sayap) dan S. Sritharan (penyerang).

Selain itu, enam pemain Selangor yang baru saja membantu skuad kebangsaan menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 juga dibawa ke Perth.

Namun hanya seorang daripada mereka iaitu Amri Yahyah bermula dalam kesebelasan utama ketika bertemu Bayswater malam tadi.

Amirulhadi Zainal dan Razman Roslan pula dibawa masuk pada minit ke-75 manakala tiga lagi pemain tidak diturunkan iaitu Safiq Rahim, Safee Sali dan Asraruddin Putra Omar.

Skuad Selangor yang tiba di Perth pada Sabtu lalu bakal menghadapi dua lagi aksi persahabatan iaitu bertemu Perth SC pada Rabu ini (5 Januari) dan Stirling Lions pada Jumaat (7 Januari).

Mereka akan pulang ke tanah air pada 9 Januari bagi membuat persiapan akhir sebelum menghadapi Kelantan pada 29 Januari depan untuk aksi pembuka tirai 2011, Piala Sumbangsih di Stadium Shah Alam.

Selangor kini tanpa enam pemain musim lalu yang telah pun berhijrah iaitu Hamsani Ahmad (Felda United), Zaiza Zainal Abidin (Pahang), Azrine Efendy Saduddin (Sime Darby), Liew Kit Kong (Felda United), R. Surendren (Pahang) dan Farderin Kadir (Felda United).

logo mbi  logo kappa  logo arena