Persahabatan: Selangor 2 Stirling Lions 1
SKUAD Liga Super Selangor akhirnya mencatat kemenangan pada siri perlawanan persahabatan sempena latihan pramusim mereka di Perth, Australia.
Pada perlawanan persahabatan ketiga dan terakhir malam tadi, Selangor berjaya menewaskan Stirling Lions 2-1 menerusi jaringan dua pemain kebangsaan, Razman Roslan dan Safee Sali.
Jurulatih Selangor, K. Devan menurunkan Iqbal Suhaimi, Razman, Khairul Anuar Baharom, Yosri Derma Raju, Asraruddin Putra Omar, Amirulhadi Zainal, Amri Yahyah, Fadzli Saari, Hardi Jaafar, Rudie Ramli dan Safee pada separuh masa pertama.
Razman meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-18 setelah pemain pertahanan kanan itu tenang menyempurnakan sepakan penalti.
Mendahului 1-0, Devan membuat tiga pertukaran serentak sebaik babak kedua bermula dengan memasukkan P. Gunalan, D. Surendran dan Fazilidin Khalid bagi menggantikan Asraruddin, Razman dan Hardi.
Baru tiga minit babak kedua berlangsung, Selangor berjaya memperolehi gol kedua menerusi penyudah kemas Safee.
Namun Stirling Lions tidak cepat mengalah apabila berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Jamie Devereau pada minit ke-52.
Selangor selepas itu melakukan empat lagi pertukaran dengan membawa masuk Fitri Shazwan Raduwan, S. Sritharan, K. Depan Sakwati danSafiq Rahim bagi menggantikan Rudie, Fadzli, Amirulhadi dan Safee.
Bagaimanapun tiada pertambahan gol berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan menyaksikan kedudukan 2-1 itu kekal sehingga wisel penamat.
Lima pemain yang tidak beraksi malam tadi ialah Saiful Amar Sudar, Fairul Azwan Shahrullail, Bunyamin Umar, Nasriq Baharom dan Azidan Sarudin.
Pada dua perlawanan terdahulu, Selangor tewas 1-2 kepada Bayswater Isnin lalu menerusi jaringan tunggal Surendran sebelum berjaya mengikat Perth SC 1-1 Rabu lalu hasil jaringan Sritharan.
Skuad Selangor yang tiba di Perth Sabtu lalu akan pulang ke tanah air pada Ahad ini.


