Piala FA: Selangor 1 Kuala Lumpur 1

on .

Selangor menempah tiket ke suku akhir Piala FA biarpun diikat 1-1 oleh pasukan jiran tetangga Kuala Lumpur dalam perlawanan kedua pusingan kedua Piala FA yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam tadi.

Lawan yang menanti di suku akhir nanti adalah Perak dalam perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 3 dan 7 Mac nanti.

Berbekal agregat 1-0 yang dibawa dari Stadium PBKL Cheras Sabtu lalu, Selangor yang membuat tiga pertukaran terhadap kesebelasan utamanya kali ini bermula dengan berhati-hati dan tampak selesa mengekalkan jurang dan perlawanan separuh masa berkesudahan seri tanpa jaringan.

Namun segala-galanya berubah di aksi babak kedua apabila pasukan pelawat berjaya mendahului melalui sepakan percuma Azwan Abdul Malek yang menewaskan Nasril Nourdin sekaligus menyamakan agregat 1-1.

Gol tersebut memberi semangat kepada Kuala Lumpur untuk menambah jaringan dan bekas pemain Selangor Abdul Hadi Yahya hampir menghukum bekas majikannya namun percubaannya beberapa minit kemudian berjaya dihalang Nasril.

Menyedari satu lagi jaringan dari pasukan pelawat akan menyebabkan dua gol perlu dicari menyebabkan pasukan Selangor mula mengatur langkah mencari gol dengan aksi lebih tersusun.

Hasilnya sepakan lambung P. Gunalan di dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan Saiful Amar Sudar untuk Selangor kembali mendahului agregat 2-1.

Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan.

SELANGOR: Mohd Nasril Nourdin, Mohd Razman Roslan, Khairul Anuar Baharom, Mohd Nasriq Baharom, P Gunalan, R Surendren (Mohd Amirulhadi Zainal), Mohd Amri Yahyah, Fazilidin Khalid (Fitri Shazwan Raduwan), C Premnath, Rudie Ramli (Mohd Hardi Jaafar), Mohd Safee Sali

logo mbi  logo kappa  logo arena