Piala Malaysia: K Lumpur 0 Selangor 0

on .

Selangor dan Kuala Lumpur terikat seri 0-0 pada aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi sekaligus menyaksikan skuad Merah Kuning sekadar menduduki tangga ketiga dengan hanya empat mata dari tiga perlawanan.

Skuad Selangor menguasai sebahagian besar perlawanan di separuh masa pertama dalam aksi padang licin berikutan hujan lebat manakala Kuala Lumpur mengharapkan serangan balas pantas untuk memerangkap lawan.

Penjaga gol Kuala Lumpur Norazlan Razali yang juga merupakan pelatih skuad kebangsaan ternyata menjadi batu penghalang apabila menafikan beberapa percubaan terbaik penyerang Selangor.

Walaupun begitu peluang terbaik untuk memecah kebuntuan hadir buat Kuala Lumpur apabila Yong Kuong Yong berjaya melepasi perangkap ofsaid Selangor namun beliau gagal menewaskan penjaga gol G Jeevanathan.

Tiga minit kemudian, sepakan percuma cantik Amri Yahyah pula berjaya memerangkap Norazlan namun sekadar terkena palang.

Kemasukan ketua pasukan kebangsaan Safiq Rahim di separuh masa kedua gagal merubah nasib Selangor apabila ketumpulan barisan serangan berterusan sehingga wisel penamat ditiupkan.

Selangor akan bertemu T-Team di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

KUALA LUMPUR: Norazlan Razali, Shahrom Kalam (c), Farouk Hashim, Ahmad Dashila Tajudin, Farid Ramli, Khairul Anuar Shafie (S Sivaraj 50), Syafiq Johari, See Kok Luen (Azwan Abd Malek 65), Badrul Hisyam Azmi, Yong Kuong Yong (Ahmad Azlan Zainal 79).

SELANGOR: G Jeevananthan, Razman Roslan, Nasriq Baharom, Asraruddin Putra Omar, P Gunalan, Amirulhadi Zainal, Hardi Jaafar, Amri Yahyah (c) (Azidan Sarudin 84), Fitri Shazwan Raduwan (Safiq Rahim 52), Rudie Ramli (S Sritharan 72), Fadzli Saari.

Pengadil: Shukri Nor

logo mbi  logo kappa  logo arena