Piala Malaysia: PDRM 1 Selangor 4
SELANGOR menghidupkan peluang ke suku akhir Piala Malaysia apabila menewaskan PDRM 4-1, dalam saingan Kumpulan D, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.
Amri Yahyah membuka jaringan buat Selangor pada minit ke-31 apabila sepakan percuma Safiq Rahim gagal dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh pertahanan PDRM membolehkan Amri untuk menolak masuk.
Safiq Rahim yang menerima kritikan sejak prestasi menurunnya kebelakangan ini menjadikan kedudukan 2-0 sejurus sebelum rehat apabila menyempurnakan hantaran Razman Roslan.
Aksi separuh masa kedua menyaksikan Selangor terus menguasai perlawanan. Namun tatkala pasukan pelawat rancak menyerang, PDRM merapatkan jurang apabila sepakan jarak jauh Fauzi Abd Majid dari luar kotak penalti menewaskan G. Jeevananthan di gawang Selangor pada minit k-62.
Bagaimanapun kebangkitan PDRM tidak bertahan lama apabila sembilan minit kemudian Amirulhadi Zainal bijak menghukum kesilapan pertahanan lawan lantas merembat masuk untuk Selangor mendahului 3-1.
Pemain gantian Rudie Ramli menjadikan kedudukan 4-1 di penghujung perlawanan. Kedudukan tersebut kekal sehingga wisel pnamat ditiupkan pengadil.
Selangor perlu mencatat kemenangan apabila berhadapan Kuala Lumpur Selasa ini di Stadium Shah Alam untuk mara ke suku akhir sebagai naib juara kumpulan.


