Piala Malaysia: Perak 0 Selangor 1

on .

Selangor mara ke separuh akhir Piala Malaysia apabila menang ke atas Perak 1-0 hasil jaringan Rudie Ramli pada minit ke-49 dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Perak malam tadi.

Kemenangan ini membolehkan Selangor mara dengan agregat 4-1 selepas mencatat kemenangan 3-1 di Stadium Shah Alam, Isnin lalu. Tambah manis, skuad Gergasi Merah memastikan misi untuk merangkul Piala Malaysia ke-33 terus bersinar.

Jurulatih Selangor, P Maniam menurunkan kesebelasan yang hampir sama dari suku akhir pertama kecuali tanpa kehadiran Bunyamin Umar yang digantung setelah menerima kad merah dari perlawanan tersebut. Tempat beliau diambil-alih pemain berpengalaman Mohd Hardi Jaafar.

Seperti diduga, pasukan tuan rumah melancarkan serangan demi serangan sebaik sahaja perlawanan bermula bagi merapatkan jurang agregat. Namun, walaupun menguasai sebahagian besar perlawanan, Perak gagal mencipta peluang yang benar-benar mengancam kubu Selangor.

Skuad Merah Kuning menghukum Perak pada minit ke-49 apabila Rudie Ramli yang masuk menggantikan Amri Yahyah yang cedera di pertengahan babak pertama, menjaringkan gol tunggal perlawanan.

Gol berpunca dari sepakan percuma Safiq Rahim yang berjaya ditampan penjaga gol lawan Nasril Nourdin, namun Rudie paling pantas menyambar bola muntah dan mudah menanduk masuk ke gawang yang tidak dikawal.

Selangor berpeluang menambah luka Seladang selepas itu namun Amirulhadi Zainal yang berjaya melarikan bola melepasi Nasril hanya mampu menolak lemah bola ke arah gol yang mudah dikeluarkan pertahanan Perak. Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selangor bakal melayan kunjungan skuad Terengganu yang turut layak selepas menewaskan Kelantan dengan agregat 5-3, pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam Selasa ini.

PERAK: 25-M Nasril Mat Nourdin, 2- Chan Wing Hoong, 3-Mohd Khairi Zainuddin (captain), 8-Shahrul Nizam Mustapha, 14-Ahmad Rizal Rakhli, 16-Md Fazrul Hazli, 17-K Nanthakumar, 19-Mohd Noor Hazrul, 22-Isma Alif, 24-Md Hisyamuddin, 31-Mohd Failee Ghazli

SELANGOR: 31- G Jeevanathan, 3-Mohd Razman Roslan, 4-Mohd Asraruddin Putra Omar, 6-Mohd Nasriq Baharom, 8-Safiq Rahim, 14-Mohd Hardi Jaafar, 15-P Gunalan (17-D Surendran), 17-Mohd Amri Yahyah (kapten) (9-Rudie Ramli), 18-Azidan Sarudin, 20-Mohd Amirulhadi Zainal, 24-Mohd Fitri Shazwan Raduwan (25-Fazilidin Khalid)

Galeri

logo mbi  logo kappa  logo arena