Piala Malaysia: Selangor 0 Terengganu 2

on .

SELANGOR berdepan tugas sukar untuk merealisasikan Misi 33 apabila tewas 0-2 kepada Terengganu pada aksi separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Dua jaringan Abdul Manaf Mamat pada babak pertama sudah cukup untuk memberikan bekalan selesa buat Terengganu menjelang aksi kedua di Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Namun buat Selangor, perjuangan masih belum selesai kerana mereka mungkin akan mendapatkan semula khidmat Amri Yahyah pada aksi kedua nanti selepas kapten Selangor itu terlepas aksi malam tadi kerana mengalami kecederaan lutut.

Di hadapan kira-kira 30,000 penyokong sendiri, Selangor ketinggalan seawal minit pertama apabila lambungan Ashari Samsudin dari sebelah kiri berjaya ditolak masuk Manaf yang menghulurkan kakinya untuk mengatasi Asraruddin Putra Omar dan Nasriq Baharom serta mengelirukan penjaga gol, G Jeevananthan.

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor mula bangkit tetapi dua peluang terhidang menerusi sepakan percuma pada minit ke-13 dan selang tiga minit kemudian, gagal disudahkan dengan baik oleh Safiq Rahim apabila kedua-dua sepakannya melambung tinggi.

Pada minit ke-18, sepakan percuma Terengganu yang diambil Joseph Kalang Tie berjaya dikuis keluar Jeevananthan.

Akhirnya pada minit ke-32, Terengganu terus melebarkan kedudukan 2-0, juga menerusi sepakan leret kaki kiri Manaf dari luar kotak penalti.

Ia memaksa jurulatih Selangor, P Maniam membuat pertukaran awal, empat minit kemudian apabila memasukkan penyerang, Rudie Ramli menggantikan Hardi Jaafar.

Pada minit ke-43, Safiq hampir merapatkan kedudukan tetapi percubaannya sekadar singgah ke palang gol Terengganu.

Bersambung babak kedua, Selangor terus tidak berputus asa untuk mencari gol dan pada minit ke-50, rembatan Bunyamin Umar dari luar kotak penalti sempat ditepis keluar penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli.

Seminit kemudian, Maniam melakukan pertukaran kedua dengan memasukkan Fadzli Saari menggantikan Azidan Sarudin bagi menambah sengat di barisan depan.

Pada minit ke-61, Rudie pula terlepas peluang apabila percubaannya sekadar sipi daripada gawang Terengganu.

Selangor terus mencuba, namun sehingga wisel penamat, kedudukan 2-0 itu terus kekal.

Pada satu lagi aksi separuh akhir pertama, T-Team tewas 2-4 kepada Negeri Sembilan di Kuala Terengganu.

SELANGOR: G Jeevananthan, Razman Roslan, Nasriq Baharom, Asraruddin Putra Omar, P Gunalan (c), Amirulhadi Zainal, Bunyamin Umar, Hardi Jaafar (Rudie Ramli), Fitri Shazwan Raduwan ( D Surendran), Safiq Rahim, Azidan Sarudin (Fadzli Saari).

TERENGGANU: Sharbinee Allawee Ramli, Mazlizam Mohamad, Marzuki Yusof (c), Faizal Mohamad, Zubir Azmi, Joseph Kalang Tie, Ahmad Nordin Alias, Reeshafiq Alwi, Ashari Samsudin, Abdul Hadi Yahaya (Ismail Faruqi Ashari), Abdul Manaf Mamat.

Pengadil: Shokri Nor

Galeri

Lagi gambar dari perlawanan Selangor lawan Terengganu>> KLIK DI SINI

logo mbi  logo kappa  logo arena