Piala Malaysia: Selangor 1 T-Team 2
LALUAN Selangor untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia semakin berliku setelah tewas 1-2 kepada T-Team di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Kekalahan tersebut meletakkan Selangor kekal di tangga ketiga Kumpulan D selepas empat perlawanan dengan empat mata, di belakang T-Team (9 mata) dan Kuala Lumpur (8 mata) manakala PDRM tercorot dengan 1 mata.
Segalanya tampak positif buat Selangor apabila ketua pasukan, Amri Yahyah merembat masuk gol pertama pada minit ke-14 untuk menamatkan kemarau jaringan panjangnya.
Namun T-Team hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-24 tetapi percubaan Fitri Omar dinafikan kecekapan penjaga gol Selangor, G Jeevananthan.
Pada minit ke-37, Selangor hampir berjaya menambah gol kedua, namun rembatan Safiq Rahim sekadar menggegar tiang kiri manakala tindakan susulannya ditepis keluar penjaga gol T-Team, Zaire Hafiezi Ideris.
Seminit babak kedua bersambung, T-Team terus berusaha mencari gol dan rembatan Indra Putra Mahayuddin dari sebelah kiri berjaya ditepis Jeevananthan.
Selangor pula turut berpeluang pada minit ke-52 tetapi kali ini percubaan Fadzli Saari hasil hantaran Hardi Jaafar berjaya ditepis penjaga gol T-Team.
Jurulatih Selangor, K Devan terpaksa mengeluarkan Nasriq Baharom akibat kecederaan pada minit ke-61 dan digantikan dengan Bunyamin Umar.
Malang menimpa Selangor pada 10 minit terakhir permainan apabila T-Team berjaya menghasilkan dua gol.
Gol penyamaan T-Team hadir pada minit ke-81 setelah Nor Farhan Muhammad menanduk masuk di celah-celah pertahanan Selangor, Bunyamin dan Asraruddin Putra Omar sambil membuatkan Jeevananthan tersalah langkah.
Ketika Selangor berkira-kira untuk sekadar mengutip satu mata, T-Team berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-87 apabila sepakan percuma Zairo Anuar Zalani gagal diselamatkan Jeevananthan.
Selangor wajib menang ke atas PDRM di Paroi pada Sabtu ini dan Kuala Lumpur di Shah Alam, 27 September untuk memastikan tempat ke suku akhir.
SELANGOR: G Jeevananthan, Razman Roslan, Nasriq Baharom (Bunyamin Umar 61), Asraruddin Putra Omar, P Gunalan, Amirulhadi Zainal, Hardi Jaafar, Safiq Rahim, Fitri Shazwan Raduwan (Rudie Ramli 78), Amri Yahyah (c), Fadzli Saari (Fazilidin Khalid 89).
T-TEAM: Zaire Hafiezi Ideris, Subri Sulong (Shahrul Ezrain), Azizi Mat Rose, Nor Fazly Alias, Rosdi Talib (c), Nor Farhan Muhammad, Tengku Hasbullah Raja Hassan (Hasbullah Awang), Zairo Anuar Zalani, Indra Putra Mahayuddin, Fitri Omar, Haris Safwan Kamal (Samsul Kamal Mohamad).
Pengadil: Nazmi Nasaruddin.


