Piala Malaysia: Selangor 2 Kuala Lumpur 1

on .

SELANGOR akhirnya berjaya juga mara ke suku akhir Piala Malaysia setelah menewaskan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Shah Alam malam tadi untuk menghidupkan semula Misi 33.

Pada aksi terakhir Kumpulan D itu, Selangor bangkit daripada ketinggalan di separuh masa pertama dengan memperolehi dua gol pada baki 25 terakhir permainan menerusi Razman Roslan dan Amri Yahyah.

Dengan kemenangan itu, Selangor berjaya memintas Kuala Lumpur hanya satu mata untuk menduduki tangga kedua Kumpulan D dengan 10 mata, tetapi gagal muncul juara kumpulan yang dimiliki T-Team dengan 13 mata selepas membelasah PDRM 6-0 di Paroi, malam tadi.

Selaku naib juara Kumpulan D, Selangor dijadual berdepan juara Kumpulan A, Perak pada aksi suku akhir di Shah Alam pada 10 Oktober dan di Ipoh, 14 Oktober depan.

Pada perlawanan malam tadi, Kuala Lumpur menguji seawal minit ketujuh selepas penjaga gol Selangor, G Jeevananthan gagal menangkap kemas bola tetapi mujur rembatan Ahmad Hazwan Bakri sedikit tinggi.

Peluang Selangor pula hadir pada minit ke-32 tetapi hantaran kapten, Amri Yahyah dari sebelah kiri lambat ditolak masuk Azidan Sarudin di depan pintu gol Kuala Lumpur.

Gawang Selangor akhirnya bocor pada minit ke-37 setelah sepakan percuma Azwan Abd Malek dari sebelah kiri berjaya ditanduk masuk dengan cantik kapten Kuala Lumpur, Shahrom Kalam untuk gol pertama pelawat.

Ia nyata mengejutkan Selangor yang kembali mengatur serangan memburu gol penyamaan tetapi serangan balas pada minit ke-42 gagal disudahkan dengan tepat Amri.

Bersambung babak kedua, anak-anak buah P Maniam terus berusaha mencari gol dan pada minit ke-56, rembatan Safiq Rahim tepat pula ke dakapan penjaga gol Kuala Lumpur, Norazlan Razali.

Bagi menambah sengat di bahagian tengah untuk menjana serangan Selangor, Maniam telah memasukkan Hardi Jaafar menggantikan Azidan pada minit ke-59.

Ia tampak berhasil apabila Selangor berjaya memperolehi gol penyamaan pada minit ke-65 selepas bola sepakan sudut Safiq yang ditanduk ke belakang pertahanan Kuala Lumpur dapat disudahkan menerusi rembatan kencang Razman Roslan.

Gol Razman itu menyemarakkan terus semangat para pemain Selangor sehinggalah mereka berjaya mendapat gol kemenangan hasil tandukan kencang Amri yang menyambut bola sepakan percuma Safiq dari sebelah kiri pada minit ke-75.

Selepas mendahului 2-1, Selangor terus mengasak tanpa memberi ruang buat Kuala Lumpur untuk mencari gol penyamaan.

SELANGOR: G Jeevananthan, Razman Roslan, Nazri Ahmad, Asraruddin Putra Omar, P Gunalan, Amirulhadi Zainal, Bunyamin Umar, Azidan Sarudin (Hardi Jaafar 59), Safiq Rahim, Fitri Shazwan Raduwan (Rudie Ramli 84), Amri Yahyah (c).

KUALA LUMPUR: Norazlan Razali, Shahrom Kalam, Ahmad Azlan Zainal, Ahmad Dashila Tajudin, Farid Ramli, Yong Kuong Yong (S Sivaraj 74), Syafiq Johari, See Kok Luen, Dzaiddin Zainuddin (Afiq Azmi 83), Azwan Abd Malek (Azmi Sarmin 65), Ahmad Hazwan Bakri.

Pengadil: Nafeez Abd Wahab

logo mbi  logo kappa  logo arena